My Add

Monday 13 August 2012

Saya sertai Pas bukan kerana jawatan, kata Tamrin

NOR ATIEYAH YUSOFF
SHAH ALAM, AHAD, 12 Ogos, 2012: Bekas pemimpin UMNO, Datuk Tamrin Ghafar menegaskan keahliannya dalam Pas bukanlah untuk bertanding dan kuasa, sebaliknya hanya memperjuangkan nasib rakyat.

Beliau berkata, keputusan untuk berjuang bersama Pas dan Pakatan Rakyat (PR) dibuat kerana mahu membela rakyat setelah beberapa penggal memegang jawatan sebagai wakil rakyat.

“Malah, saya tiada niat atau perancangan mahu bertanding dalam pilihan raya umum nanti. Sebaliknya, soal bertanding serahkan pada orang lain. Ramai lagi yang berkelayakan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Tamrin merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Jasin dan bekas ahli parlimen Batu Berendam di Melaka dari tahun 1986 hingga 1995 dan pernah menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat.

Menurutnya, beliau menyerahkan keputusan kepada Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu dan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengambil tindakan seterusnya.

Sebelum ini, Tamrin menghantar borang penyertaan ahli Pas kepada Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, malam kelmarin ketika hadir dalam program tahunan parti itu sempena mengingati peristiwa peperangan Badar al-Qubra, di Markas Tarbiyah Pas di Taman Melewar, Gombak.

No comments:

Post a Comment