My Add

Tuesday 14 August 2012

SDAR Seremban menang hadiah utama filem antarabangsa

KUALA LUMPUR, SELASA, 14 Ogos, 2012: Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Seremban memenangi satu daripada hadiah utama Panasonic Kid Witness News (KWN) 2012 Global Film Award di London melalui dokumentari bertajuk 'The Factory Chicken'.

Filem itu, yang membabitkan penyelidikan tentang ladang ternakan ayam moden serta kesannya terhadap haiwan berkenaan dan alam sekitar, memenangi Anugerah Penyelidikan Terbaik bagi filem dokumentari sekolah. 

Dalam kenyataan hari ini, Panasonic Malaysia Sdn Bhd berkata SDAR adalah antara enam peserta peringkat akhir daripada 718 sekolah dari 31 negara yang menyertai Panasonic KWN 2012 Global Contest melalui persembahan video bertemakan ekologi atau komunikasi sepanjang lima minit yang mereka kemukakan.

Hadiah Grand Prix dan Anugerah Skrip Terbaik dimenangi Sekolah Menengah Sembawang, Singapura melalui dokumentari berjudul 'The First Appearance of Light'.

Ketua hakim Panasonic KWN, Ian Cameron, yang juga bekas editor berita BBC TV, berkata beliau kagum dengan profesinalisme yang terdapat pada filem yang dihasilkan SDAR.

Ini kali kedua sekolah Malaysia memenangi pertandingan itu. Kali pertama dimenangi Sekolah King George V, juga dari Seremban, pada 2010.

Program KWN memberi penghargaan kepada video yang dihasilkan kanak-kanak setiap tahun, dengan memberi kebebasan kepada mereka memilih tema yang diminati serta mengendalikan penerbitannya, daripada peringkat perancangan dan penulisan skrip, hinggalah kepada kerja penggambaran dan penyuntingan.
Sekolah yang mengambil bahagian diberi kamera video Panasonic serta peralatan lain bagi tujuan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment