My Add

Tuesday 14 August 2012

Selangor: SPAN setuju struktur semula air


*XAVIER (dua, kanan) pada sesi dialog tersebut. 

AHMAD NORMAN ABU TALIB
PETALING JAYA, SELASA, 14 Ogos, 2012: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersetuju dengan rancangan menstrukturkan semula bekalan air di Selangor, kata Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, persetujuan tersebut dicapai semasa sesi Majlis Dialog Air Negeri Selangor 2012 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.

“SPAN bersetuju berhubung rancangan pengstrukturan semula air di neger ini di mana ia sama dengan pendirian Kerajaan Negeri.

“Apa yang saya nampak mereka semua bersetuju dan rancangan pengstrukturan semula air itu perlu dibuat secara holistik melibatkan semua pihak,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog tersebut.

Turut hadir adalah wakil-wakil daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Konsortium Abass Sdn Bhd (ABASS), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Puncak Niaga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan persatuan penduduk.

Menurutnya, SPAN turut bersetuju supaya audit terbuka dijalankan di semua syarikat-syarikat air di negeri ini.

Katanya, audit tersebut perlu dijalankan bagi membolehkan data-data terperinci syarikat diperoleh.

“SPAN bersetuju untuk adakan audit terbuka dalam syarikat-syarikat air di Selangor supaya data-data terperinci dapat diketahui untuk sebarang tindakan.

“Melalui data-data tersebut kajian dan gambaran tepat dapat dilaksanakan,” katanya.

Xavier berkata, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk membuka semula loji rawatan air di Bukit Jelutong sebagai salah satu tindakan mengatasi masalah air di Selangor.

Menurutnya, ia akan dibuka semula dalam tempoh dua hingga tingga bulan.

“Dalam jangka masa pendek kita akan atasi melalui mitigasi satu dan dua masing-masing dengan menyalurkan air dari utara ke selatan negeri ini dan Kerajaan Negeri akan buka tender bagi Loji Rawatan Sungai Selangor 1 (SSP1) dan (SSP3) untuk meningkatkan pengeluaran air terawat kepada lebih 200 mililiter sehari dijangka siap Mac tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri sedang memikirkan langkah yang sepatutnya dilaksanakan berhubung projek Loji Rawatan Air Langat 2.

“Kerajaan Negeri pun dalam dilema kerana projek ini separuh telah dimulakan dan kalau dihentikan akan berlaku pembaziran. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment