My Add

Sunday 12 August 2012

Strategi stabilkan harga saham FGV

Oleh ZULHISHAM ISAHAK dan MOHAMED SAARI
SEGAMAT, SABTU, 11 Ogos, 2012: Felda Global Ventures Berhad (FGV) akan mengumumkan strategi untuk memastikan harga sahamnya bertahan dan terus melonjak pada suku kedua tahun ini.

Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, pengumuman itu bagi memastikan pelabur, pemegang saham dan orang ramai yakin dengan potensi serta keupayaan saham FGV.

"Bila sampai suku kedua nanti kita akan buat pengumuman tentang strategi yang akan dilakukan. Kita akan maklumkan kepada pemegang saham dan masyarakat awam tentang perancangan yang sudah kita buat.

"Sebenarnya, strategi ini sudah kita rancang semasa penyenaraian FGV di awal pasaran lagi, cuma tunggu masa yang sesuai untuk diumumkan," katanya pada sidang akhbar selepas Program Tadarus dan Penghayatan al-Quran Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) peringkat Kebangsaan 2012 di Masjid Nur Hidayah, Felda Chemplak, Labis dekat sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Faizoull Ahmad dan Presiden MBFM, Anuar Abd. Manap.

Mohd. Isa berkata, walaupun strategi sudah dibuat, pergerakan harga saham FGV boleh terjejas kerana dipengaruhi oleh kejatuhan harga Minyak Kelapa Sawit Mentah (CPO) dunia dan serantau.

Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, pembayaran zakat Kumpulan Felda 2011 yang diagihkan pada tahun ini meningkat iaitu RM30.6 juta berbanding RM26 juta tahun sebelumnya dengan Pahang, Sabah, Johor dan Negeri Sembilan sebagai penerima terbesar berdasarkan keluasan kawasan Felda.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan Bantuan Raya 2012 Warga Felda sebanyak RM346,600 iaitu RM150,800 untuk Felda Chemplak, RM136,400 (Felda Tenang) dan RM59,400 (Felda Chemplak Barat) selain MBFM menyampaikan sumbangan kepada 29 anak yatim dari Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat.

Ketua Kampung Felda Chemplak, Abdul Razak Abdul Rashid bersyukur dengan bantuan tersebut dan 413 peneroka yang menerimanya turut menganggapnya sebagai rahmat menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Peneroka yang menjalankan usahasama di bawah Felda mendapat RM400 setiap seorang manakala yang tidak menjalinkan usahasama menerima RM200.

Ketua Kampung Felda Tenang, Darham Daud pula menyatakan sumbangan tersebut amat ditunggu-tunggu 394 peneroka di kawasan itu dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana prihatin dengan kebajikan masyarakat Felda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment