My Add

Monday 6 August 2012

Strategi tangani jerebu bakal dirangka Selasa ini

MIRI, AHAD,05 Ogos, 2012: Satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih efektif akan dirangka pada Selasa ini bagi mengelakkan jerebu yang berpunca daripada pembakaran terbuka dalam negara ini menjadi lebih serius.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah berkata, satu mesyuarat jawatankuasa jerebu kebangsaan akan diadakan pada Selasa ini di Putrajaya membabitkan jabatan-jabatan berkaitan dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi membincangkan mengenai penyelarasan SOP apabila berlaku kebakaran kelak.
"SOP ini akan dilaksanakan bagi membolehkan kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan dengan lebih pantas," katanya kepada pemberita selepas melawat kebakaran hutan di tapak penempatan semula Tudan di sini hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu diadakan sebagai persiapan menghadapi musim panas dan kering yang dijangka melanda negara ini mulai bulan ini sehingga bulan depan.

Mengenai lawatan ke kawasan kebakaran di Tudan, beliau berkata, kebakaran terbabit yang membabitkan kawasan seluas 12 hektar dijangka dapat dipadamkan hari ini.

"Kebakaran bermula semalam, dan saya dimaklumkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan ini semalam iaitu sekitar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri ialah 150 dan setakat hari ini 159 satu-satunya kawasan mencapai tahap tidak sihat di negara ini," katanya.

Beliau yakin kebakaran hutan yang berlaku di Tudan dapat dipadamkan segera kerana majoriti kawasan terbakar bukan tanah gambut.

"Kita sedang menyiasat punca kebakaran tersebut dan memburu pihak yang bertanggungjawab atas kebakaran hutan di Tudan ini," katanya lagi.

Beliau berkata, setakat ini tiga individu dan dua syarikat di Miri dikenakan tindakan undang-undang kerana melakukan pembakaran terbuka tanpa permit.

"Pembakaran terbuka masih diharamkan dan saya ingin memberi amaran tindakan tegas bakal diambil ke atas mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka tanpa permit," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment