My Add

Monday 13 August 2012

Suaram digesa beri penjelasan

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
KUALA LUMPUR, AHAD, 12 Ogos, 2012: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) digesa membuat penjelasan segera mengenai pembabitannya di sebalik akuan bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat, Ng Lum Yong berkata, Pengarah Suaram, Kua Kia Soong dan bekas pemimpinnya, R. Sivarasa perlu tampil menjelaskan peranan entiti tersebut dalam komplot memfitnah Najib seperti yang didedahkan pengendali portal propembangkang, Raja Petra Kamaruddin.

"Pada 2 Julai 2008, Sivarasa merupakan wakil Suaram yang mengarahkan Raja Petra pergi ke rumah seorang peguam untuk membincangkan kes pembunuhan Altantuya itu, membuktikan Suaram juga turut terlibat dalam komplot tersebut.

"Jika benar Suaram tidak terlibat, satu penjelasan perlu diberikan oleh Sivarasa dan Kia Soong dalam sidang akhbar terbuka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Raja Petra pada Jumaat lalu mendedahkan bahawa akuan bersumpah Balasubramaniam yang menuduh Najib terlibat dalam kes pembunuhan itu telah dirancang pihak tertentu termasuk beberapa pemimpin pembangkang.

Raja Petra juga mendakwa Sivarasa yang sekarang Ahli Parlimen Subang berperanan bersama seorang peguam di sebalik akuan bersumpah tersebut bagi memfitnah Najib dan perkara itu diketahui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Lum Yong turut mendesak Kia Soong dan Sivarasa menjelaskan status sebenar Suaram yang didaftarkan sebagai sebuah syarikat swasta dan bukannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tegas beliau, sikap berdiam diri yang diambil itu seperti menyembunyikan sesuatu dan perlu disiasat segera oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Sebagai sebuah badan yang sering mendesak kerajaan agar lebih telus dalam pelbagai hal tetapi apabila melibatkan diri sendiri semua senyap.

"Jika tidak, ia akan membuktikan Suaram sedang 'ditunggang' oleh parti politik yang perlu didedahkan kepada semua rakyat Malaysia dan juga dunia,"katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment