My Add

Monday 13 August 2012

Sukarelawan 1Malaysia bawa 30 anak yatim beli baju raya


*PO'AD Jailani (dua kiri) menyarungkan baju kepada adik Solehudin Hassab Basri dan dibantu Sea Sari Boboy Abdullah (dua kanan) semasa membeli belah di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA, AHAD, 12 Ogos, 2012: Kemeriahan Syawal kali ini lebih bermakna buat 30 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Penyayang Bestari di Banting, Selangor apabila mereka dibawa membeli baju raya di pusat beli-belah Alamanda di sini hari ini.

Kesemua mereka menerima duit raya dan baucar beli-belah bernilai RM200 sumbangan Sukarelawan 1Malaysia Pejabat Perdana Menteri.

Menurut ketua penyelaras program, Mohd. Samsi Kamarudin, program tersebut diadakan untuk berkongsi keceriaan dengan golongan kurang bernasib baik melalui sumbangan yang diperuntukkan oleh 70 kakitangan Pejabat Perdana Menteri yang menyertai Sukarelawan 1Malaysia Pejabat Perdana Menteri.

Beliau berkata, program itu sebagai mensyukuri nikmat kurniaan Allah selain menyemarakkan lagi Ramadan yang penuh keberkatan selain memberi peluang kepada golongan tersebut menikmati kemeriahan sambutan Syawal.

"Kami mengadakan program seumpama ini juga bagi membantu meringankan beban anak yatim kerana pembelian kelengkapan hari raya memerlukan banyak wang.

"Inilah yang kita mahukan melalui program sebegini, kita mendapat keberkatan daripada Allah apabila membantu anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd. Po'ad Jelani.

Pada majlis itu semua penerima meluangkan masa lebih sejam memilih pakaian hari raya seperti baju kurung, baju Melayu, tudung, samping, songkok, kemeja, seluar dan kasut.

Menurut Mohd. Samsi, selain sumbangan tersebut, Sukarelawan 1Malaysia Pejabat Perdana Menteri sebelum ini juga telah menjalankan pelbagai khidmat sukarela seperti bergotong royong membersihkan masjid dan juga membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Dalam pada itu, Setiausaha Rumah Anak Yatim Penyayang Bestari, Noor Bee Abu Bakar, terharu dengan sumbangan diberikan kerana ia cukup bermakna kepada anak yatim jagaanya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Terima kasih kepada Sukarelawan 1Malaysia Pejabat Perdana Menteri kerana memilih untuk membantu Rumah Anak Yatim Penyayang Bestari, sebelum ini kami amat terpinggir daripada segala bantuan kerana lokasi rumah yang jauh di Banting.

"Saya berharap selepas ini lebih banyak bantuan diterima bagi membolehkan anak yatim ini menyambut lebaran seperti mana insan lain," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment