My Add

Thursday 16 August 2012

TPM tunai janji bangunkan Pondok Geting

KOTA BHARU, RABU, 15 Ogos, 2012: Janji Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membantu membangunkan Pondok Geting di sini ketika mengunjungi pondok itu Mac lalu telah ditunaikan.

Beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan untuk dibelanjakan berdasarkan kepada permintaan jawatankuasa pondok berkenaan.

Replika cek itu disampaikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed kepada pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah di pondok itu semalam.

Hadir sama Pengarah JPP, Datuk Makhtar Mustafa; Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar dan kira-kira 50 pelajar pondok berkenaan.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika ditemui berkata, sumbangan berkenaan merupakan bukti bahawa kerajaan Pusat tidak pernah mengabaikan negeri ini.

"Kira-kira empat bulan lalu timbalan perdana menteri melawat pondok ini dan beliau berjanji untuk membantu jadi malam ini saya datang menyampaikan keputusan yang telah dibuat.

"Berita baik ini telah disampaikan. Saya sampaikan peruntukan ini kepada Abdullah jadi terserahlah kepada jawatankuasa pondok macam mana sama ada nak ubah suai tempat ini atau cari tempat lain," katanya.

Menurut beliau, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada lebih RM70 juta yang telah dilaburkan kerajaan Pusat bagi membina dan membaiki ratusan masjid yang ada di Kelantan.

Katanya, institusi agama tidak pernah diabaikan malah pemimpin-pemimpin UMNO sentiasa digesa untuk menjalin hubungan baik dengan para ulama negara ini.

"Masjid baru dibina maknanya kerajaan Pusat tidak meminggirkan Kelantan. Saya berharap dengan bantuan ini dapat membantu pondok ini menyebarkan lagi dakwah dan syiar Islamtambahnya," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment