My Add

Thursday 20 September 2012

109 penagih, pengedar dadah ditahan dalam 'Ops Tapis Bersepadu'

KOTA BHARU, KHAMIS, 20 September, 2012: Seramai 109 penagih dan pengedar dadah ditahan dalam 'Ops Tapis Bersepadu' yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata dalam operasi bermula 12 tengah malam dan berakhir 9 pagi tadi, pihaknya turut merampas 461 pil kuda dan heroin seberat 9.5 gram.

"Kita memeriksa seramai 169 orang dan menahan 109 daripada mereka kerana pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes jenayah lain," katanya pada sidang media di IPD Kota Bharu, hari ini.

Operasi itu disertai 20 pegawai dan 113 anggota membabitkan empat balai polis di daerah berkenaan.

Azham berkata, pihaknya juga merampas wang tunai berjumlah RM8,460, dipercayai hasil jualan dadah.

"Selain itu, polis turut menahan suspek kes waran tangkap, kes memiliki senjata tajam dan menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu. Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Pengkalan Chepa untuk siasatan lanjut," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment