My Add

Wednesday 26 September 2012

Air: Aduan mula diterima

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
KLANG, SELASA, 25 September, 2012: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menerima aduan daripada beberapa syarikat bertaraf antarabangsa yang melabur di negara ini mengenai krisis bekalan air terawat di Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mendedahkan perkara itu berkata, masalah yang dihadapi syarikat berkenaan disampaikan kepadanya setiap kali beliau turun padang berjumpa mereka.

Beliau berkata, bagi meningkatkan pengeluaran produk, syarikat-syarikat itu memohon Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), menambah bekalan air ke kilang mereka namun permohonan itu ditolak syarikat konsesi air tersebut atas alasan kekurangan sumber.

"Masalah bekalan air di negeri ini membimbangkan kerana sekiranya dibiarkan, ia dikhuatiri memberi kesan kepada jumlah pelaburan asing ke negara ini.

"Saya berharap isu air di negeri ini dapat diselesaikan segera kerajaan negeri demi kebaikan negara pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pejabat Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove), di Meru, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Dr. Wong Lai Sum.

Mustapa berkata, projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) perlu diteruskan agar masalah air di negeri ini tidak berterusan sekali gus meyakinkan pelabur asing untuk terus melabur di negara ini.

"Atas sebab itu saya berharap kerajaan negeri dapat mengetepikan perbezaan ideologi politik dan berusaha menyelesaikan krisis air yang sedang berlaku," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan Dana Strategik Pelaburan Domestik yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai lalu, Mustapa berkata, pihaknya menerima 15 permohonan daripada syarikat tempatan yang berminat menyertai pakej bantuan tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment