My Add

Friday 21 September 2012

Bekas pembantu juruteknik TM hadapi 10 tuduhan rasuah

 KUALA LUMPUR, JUMAT, 21 September, 20122: Seorang bekas pembantu juruteknik Telekom Malaysia Berhad hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 10 pertuduhan memperoleh suapan lebih RM50,000 daripada seorang pengurus operasi sebuah syarikat kontraktor, dua tahun lalu.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Mohd Ezzwan Mohd Arshad, 36, didakwa memperoleh suapan wang tunai, yang kesemuanya berjumlah RM53,370.50, melalui akaun Maybank milik anggota keluarganya daripada pengurus Syarikat Q-Intell Sdn Bhd Norhaizan Hassan sebagai upah untuk memberikan kerja-kerja pemasangan talian internet Streamyx di Negeri Johor kepada syarikat berkenaan.

Wang itu diperoleh Mohd Ezzwan melalui pegawai kewangan syarikat Q-Intell, Norhafizan Hassan di Maybank Cawangan Desa Pandan, Cheras di sini antara 20 Mei hingga 9 November 2010.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afifah Yusuf dari SPRM menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Amrit Par Singh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM6,000 dengan tiga orang penjamin kerana anak guamnya kini, tidak bekerja setelah diberhentikan daripada Telekom Malaysia sejak Julai lepas, selain memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan kes itu.

"Anak guam saya mempunyai tanggungan keluarga iaitu dua anak yang berumur 7 dan 2 tahun dan isterinya juga sarat mengandung lapan bulan," katanya. 

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan tiga orang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 11 Oktober untuk sebutan kes. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment