My Add

Monday 24 September 2012

Bekas Timbalan KP Imigresen bebas tuduhan rasuah

PUTRAJAYA, ISNIN, 24 September, 2012: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membebaskan bekas Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Yusof Abu Bakar dari 14 tuduhan rasuah melibatkan RM121,500.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad yang mempengerusikan panel tiga hakim memutuskan bahawa tidak wujud merit dalam rayuan pihak pendakwa untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Yusof dari tuduhan itu.

Ketika panel menolak rayuan itu dengan sebulat suara, Hakim Syed Ahmad Helmy berkata terdapat banyak kelemahan dalam kes pendakwaan.

Hakim Datuk Linton Albert dan Datuk Mohtarudin Baki dua lagi anggota panel.

Di luar mahkamah, Yusof, 58, yang menggunakan kerusi roda selepas serangan strok menjelang Aidilfitri tahun ini, berkata “Syukur kepada Allah".

Yusof dituduh menerima antara RM500 dan RM18,500 daripada seorang pengurus pemasaran dan pihak ketiga sebagai dorongan agar melanjutkan tempoh pas lawatan sosial bagi warganegara China antara 21 Mac dan 7 Julai, 2008.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Putrajaya; di Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang; dan stesen petrol Caltex di Jalan Pudu.

Yusof dihukum penjara enam tahun dan denda lebih RM600,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Disember 2010 atas 14 tuduhan rasuah.

Pada 29 Feb tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuannya supaya dibatal sabitan dan hukuman penjara dan denda ke atasnya.

Terdahulu, peguam bagi Yusof, Mohammed Azmi Mohd Said memberitahu mahkamah bahawa walaupun anak guamnya sedang menjalani cuti perubatan hingga Oktober akibat dari serangan strok, beliau mahukan perbicaraan rayuan pendakwa diteruskan hari ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (MACC) Ahmad Sazilee Abdul Khairi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment