My Add

Thursday 20 September 2012

Bersama hadapi cabaran - PM

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR, RABU, 19 September, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program transformasi ekonomi serta politik seperti yang sedang dilaksanakan Malaysia merupakan jaminan terbaik terhadap keselamatan negara dan dunia.

Perdana Menteri berkata, ini kerana kepimpinan negara yakin masa depan Malaysia dan dunia bergantung kepada sistem ekonomi yang lebih terbuka dan dinamik, di samping amalan politik bebas serta lebih kompetitif.

Justeru katanya, Malaysia antaranya telah meliberalisasi sektor perkhidmatan awam, melucutkan kepentingan kerajaan di beberapa syarikat terkemuka serta menyasarkan pelaburan di beberapa industri utama, hasilnya ekonomi negara berkembang 5.4 peratus pada suku kedua tahun ini.

Selain itu kata beliau, sistem demokrasi negara juga telah jauh berubah apabila kerajaan mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), memperkenalkan undang-undang meliberalisasi media, membenarkan pelajar universiti menyertai parti politik dan pemansuhan Akta Hasutan.

"Daripada menggalas harapan meningkatkan taraf kehidupan rakyat kelas pertengahan sehingga isu global seperti keselamatan makanan yang sudah pasti sangat penting kerana ia memberi kesan kepada ekonomi, mempengaruhi pembangunan sesebuah negara, kehidupan komuniti serta survival rakyat.

"Untuk itu, negara-negara Asia perlu bersama-sama menghadapi segala cabaran yang kita lalui di rantau Asia Tenggara," katanya dalam entri bertajuk Cabaran Pembangunan Asia Pasifik di http://1malaysia.com.my/ hari ini.

Sementara itu, katanya, pertikaian mengenai Laut China Selatan harus diselesaikan melalui hubungan diplomatik, multilateral dan kerjasama di antara negara Asia Tenggara bagi mengelakkan sebarang konflik atau konfrontasi.

Katanya, prinsip sebegitu telah diperkenalkan Malaysia melalui Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton pada persidangan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) lalu menyatakan kerajaan tersebut memberi sokongan penuh kepada gerakan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, APEC kekal sebagai platform penting di persada antarabangsa kerana kebanyakan negara di dunia masih bergelut dengan isu ekonomi, politik dan keselamatan melalui penganjuran pelbagai dialog berkaitan.

"Ia secara tidak langsung memberi platform kepada kita untuk sama-sama mengenal pasti beberapa cabaran yang perlu ditempuhi di masa akan datang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment