My Add

Tuesday 25 September 2012

Cadangan tubuh jawatankuasa selaras hukuman rogol bawah umur dikaji

KUALA LUMPUR, SELASA, 25 September, 2012: Kerajaan bersedia mengkaji cadangan menubuhkan jawatankuasa untuk menyelaras hukuman rogol membabitkan gadis bawah umur untuk memastikan golongan itu dilindungi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Bagaimanapun, katanya keputusan berhubung perkara itu perlu mendapat persetujuan daripada pihak mahkamah. 

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam satu pertemuan dengan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria.

"Pada peringkat awal, Ketua Hakim sudah berikan pandangan iaitu kemungkinan jawatankuasa yang disebut itu (jawatankuasa menyelaras hukuman) boleh ditubuhkan kalau sekiranya pihak eksekutif, kerajaan bersetuju tetapi ia cuma boleh menyelaraskan hukuman," katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

Nurul Izzah ingin tahu sama ada kerajaan bersedia mewujudkan jawatankuasa seperti yang terdapat di United Kingdom yang menyelaras secara konsisten semua hukuman rogol gadis bawah umur.

Mohamed Nazri berkata, sekiranya jawatankuasa itu ditubuhkan, ia akan berperanan dari aspek penyelarasan hukuman dan bukannya mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

"Dalam soal sistem perundangan kita, mesti ada kata muktamad. Bahayanya (jika) kita mempunyai jawatankuasa untuk semak balik semua hukuman yang dijatuhkan mahkamah, kerana ia seolah ada satu lagi peringkat yang diwujudkan lebih tinggi daripada mahkamah," katanya. 

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, menurut rekod Jabatan Peguam Negara terdapat 5,976 kes yang dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan di bawah kesalahan rogol membabitkan gadis di bawah umur 16 tahun atau rogol statutori sejak 2007 hingga Ogos 2012.

"Seramai 5,119 orang sudah dipertuduh dengan kesalahan rogol membabitkan gadis di bawah 16 tahun. Sebahagian daripada 5,119 orang yang didakwa itu menghadapi lebih daripada satu kesalahan menjadikan jumlah kes 5,976," katanya.

Beliau berkata, daripada 5,119 yang didakwa, sejumlah 1,631 orang disabitkan atas kesalahan berkenaan manakala 327 orang dilepaskan dan dibebaskan selepas tamat perbicaraan.

Dalam pada itu, 446 orang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment