My Add

Saturday 22 September 2012

Dana asing bawa akibat kepada Malaysia: Hishamuddin

PUTRAJAYA, JUMAAT, 21 September, 2012: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan rasa keprihatinan terhadap dan asing yang diterima sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Beliau berkata, apa sahaja yang melibatkan dana asing jelas akan mendatangkan akibat kepada kemerdekaan dan keselamatan negara.

Diminta mengulas laporan yang mendakwa sejumlah RM20 juta dana asing telah dibayar kepada beberapa NGO di negara ini sejak 2005, katanya beliau, hairan hanya sekarang perkara itu timbul, tetapi kementeriannya akan memantau perkara itu.

"Ia di tangan Peguam Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyediakan maklumat. Tidak perlu kita timbulkannya ketika ini kerana ia kini di tangan pihak yang berkaitan.

"Dalam hal ini kepentingan dan tanggungjawab kita adalah keselamatan dan kita pantau (perkara ini) daripada dulu lagi, keluar masuknya wang-wang asing, keluar masuknya perjalanan pemimpin-pemimpin tertentu kerana ia berkisar kepada kedaulatan dan kedudukan negara, dan ini sentiasa merupakan perkara pokok dalam tugas dan amanah yang dipikul oleh kementerian," katanya.

Hishammuddin sebelum itu menerima kunjungan pemimpin-pemimpin platun Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) dan Siswa Siwi Pertahanan Awam (Sispa) di pejabatnya di sini, di mana antara topik yang dibincangkan adalah hala tuju dan agenda kementerian terutama dalam soal belia, kesukarelaan dan keselamatan.

Beliau berkata majoriti anak-anak muda pada masa kini sudah jelek dengan pendekatan kebencian dan perlu diisi dengan program membina termasuk melibatkan mereka dalam agenda besar pembinaan negara.

Idea mereka tentang program-program yang mereka mahukan turut disuarakan dan akan diumumkan apabila tiba waktunya, katanya.

Mengulas mengenai pilihan raya kampus, Hishammuddin berkata beliau tidak memantau secara dekat namun yang penting pelajar tahu tanggungjawab mereka dan melihat pilihan raya itu dalam konteks kampus sahaja.

"Ini satu proses yang asasnya baik tapi kalau disalah guna ia boleh juga menjejaskan kedudukan negara serta merosakkan anak muda yang akan mencorak kepimpinan negara nanti," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment