My Add

Sunday 23 September 2012

Dasar Pandang ke Timur berjaya transformasi negara segenap bidang

TOKYO, SABTU, 22 September, 2012: Malaysia akan terus mencontohi Jepun dalam segenap aspek kerana Dasar Pandang ke Timur yang dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad nyata memberi impak positif sehingga hari ini dalam usaha mentransformasikan negara menjadi sebuah negara maju pada 2020.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dasar tersebut nyata memberi manfaat dan sumbangan yang sangat besar kepada transformasi negara dalam segenap bidang.

"Masyarakat Jepun mempunyai disiplin yang begitu tinggi yang merupakan komponen yang dapat mengupayakan bangsa dan negara mereka. Walaupun kita dapat melihat sedikit ganguan kerana politik keterlaluan di Jepun, tapi masih lagi Jepun sebagai negara yang boleh kita pelajari daripada pelbagai sudut.

"Jepun mempunyai nilai-nilai disiplin yang begitu tinggi yang juga boleh membantu kita untuk berjaya dalam pelbagai bidang yang ada di negara kita," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perjumpaan dan ramah mesra bersama kira-kira 300 pelajar Malaysia termasuk pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara), di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

Terdahulu, Mohd. Shafie menyaksikan perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dengan dua universiti di Jepun iaitu Institut Teknologi Shibaura dan Universiti Takushoku.

MoU tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Ekskutif YPM, Dr. Zubir Harun dengan Pengarah Hubungan Antarabangsa Institut Teknologi Shibaura, Chung Yung Jin serta Pengarah Hubungan Antarabangsa Universiti Takushoku, Takeuchi Shinjo.

Mohd. Shafie sedang melakukan lawatan kerja lima hari ke Jepun mulai 20 September lepas. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment