My Add

Monday, 24 September 2012

Dua sindiket dadah antarabangsa tumpas

KUALA LUMPUR, isnin, 24 September, 2012: Dalam tempoh tiga hari, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatat kejayaan besar apabila menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang melibatkan nilai keseluruhan hampir RM11 juta.

Ini termasuk satu sindiket yang menggunakan taktik menyorok dadah dalam guni makanan ikan dan terbongkar hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di beberapa premis sekitar Lembah Klang.

Serbuan itu turut membongkar dua makmal memproses dadah yang beroperasi di dua unit kondominium sekitar Kuala Lumpur.

Dalam kejayaan pertama pada Jumaat lalu, polis menahan keseluruhan enam warga Iran serta seorang warga Turki dan merampas kira-kira 3.5 kilogram (kg) serbuk selain 785 gram cecair dipercayai syabu.

Pengarah JSJN Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim memberitahu, serbuan bermula dengan penangkapan seorang lelaki Iran ketika dia memandu kereta Mercedes-Benz di Mount Kiara di sini hasil intipan dan maklumat orang awam.

“Susulan penangkapan itu, polis telah menyerbu dua buah rumah yang dijadikan makmal kecil memproses dadah masing-masing di Jalan Ampang dan Petaling Jaya serta menahan tiga warga Iran.

“Pada masa yang sama, polis turut menahan dua lagi warga Iran dan seorang warga Turki di Ampang, Jalan Tun Razak dan Sungai Besi. Kesemua mereka dipercayai menjadikan kondominium yang disewa sebagai tempat memproses syabu sebelum memasarkannya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, dalam satu lagi kes berasingan semalam, Noor Rashid memberitahu, polis menahan dua lelaki tempatan yang menggunakan taktik menyorok dadah dalam guni yang berisi makanan ikan.

“Polis menahan dua lelaki tempatan yang menaiki dua buah kereta berhampiran Hospital Selayang. Hasil pemeriksaan ke atas salah sebuah kereta polis menemui dan merampas 8,000 biji pil Eramin 5 yang disorok dalam sebuah guni berisi makanan ikan.

“Susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Shah Alam dan merampas 520,000 pil Eramin 5 dalam 65 buah guni makanan ikan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment