My Add

Sunday 23 September 2012

Estino Taniyu berjaya seberang Selat Inggeris

KUALA LUMPUR, SABTU, 22 September, 2012: Perenang solo ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M), Estino Taniyu berjaya menamatkan renangan merentasi Selat Inggeris pada 10.20 malam ini.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, Estino, 24, mendarat di Pantai Sandy, Calaif, Perancis selepas memulakan renangan dari Pantai Dover di United Kingdom pada 8.41 pagi ini (Jumaat).

Estino yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Semporna, Sabah menamatkan renangan dalam masa 13 jam 45 minit dan 45 saat.

Akmar berkata, Estino merupakan perenang kedua dari Malaysia yang berjaya menakluk Selat Inggeris bagi kategori tanpa sangkar selepas Lennard Lee pada tahun 2004.

Manakala, pasukan renang bagi kategori berganti-ganti pula berjaya menamatkan misi merentas Selat Inggeris pada pukul 4 petang semalam (Khamis) dalam masa 14 jam 30 minit.

Pasukan seramai enam orang itu terdiri daripada Mohd. Roslan Mohd. Zawawi yang mengetuai renangan, Mohd. Khairul Faizal Mazli, Mohd. Salleh Mahmor, Buranurdin Sali, Sharizal Omar dan Mohd. Zulfadhli Mahamad.

"Kami bersyukur kerana akhirnya renangan ini berjaya dilakukan selepas tergendala kerana cuaca agak buruk sebelum ini. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah mendoakan kejayaan misi ini," kata Akmar. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment