My Add

Wednesday 19 September 2012

Industri bioteknologi jana perolehan RM695.5 bilion
*MD Isa Sabu (dua dari kiri) dan Dr. Maximus Johnity Ongkili melawat Pusat Biotek Teknologi Park Malaysia pada majlis perasmian pusat itu di Sungai Batu Pahat, Kangar, semalam.

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
KANGAR, SELASA, 18 September, 2012: Industri bioteknologi mempunyai masa depan cerah di peringkat global dengan keupayaannya untuk menjana perolehan mencecah sehingga AS$229 bilion (RM695.5 bilion) serta mampu melahirkan usahawan baru dan muda di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. maximus Johnity Ongkili memberitahu, daripada jumlah tersebut, sebanyak AS$83 bilion (RM252 bilion) dihasilkan menerusi industri herba bioteknologi.

“Potensi industri bioteknologi cukup besar bagi negara ini yang kaya dengan sumber semula jadi dan biodiversiti apabila hampir 1,200 jenis tumbuhan herba boleh menampung kegunaan perubatan dan kesihatan, selain beratus spesies herba masih belum dieksploitasi sepenuhnya," katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Pusat Biotek Technology Park Malaysia (TPM) Perlis bernilai RM21 juta yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu di Sungai Batu Pahat di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Industri, sains dan Teknologi, Pembangunan Usahawan dan Hubungan Antarabangsa negeri, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Pengerusi TPM Corporation Sdn. Bhd., Datuk Nasaruddin Hashim serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM Corporation Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Azman Shahidin.

Beliau menjelaskan, industri bioteknologi herba di negara ini berkembang pesat dengan menjana perolehan yang dianggarkan RM1 bilion pada akhir tahun lalu, secara purata mencatat perkembangan kira-kira 10 peratus setahun dan dijangka meningkat dalam masa 10 tahun akan datang.

Pusat di atas tapak seluas 8.09 hektar itu menyasarkan penglibatan lebih ramai usahawan khususnya industri kecil dan sederhana (IKS) yang menghasilkan produk khususnya berasaskan herba dan buah-buahan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Di bawah pengurusan TPM Biotech Sdn. Bhd., anak syarikat TPM Corporation Sdn. Bhd. iaitu sebuah agensi di bawah MOSTI, pusat berkenaan akan menggunakan peralatan pemprosesan herba dan buah-buahan terkini dan canggih untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Sejak 2011, TPM Biotech telah menyediakan perkhidmatan pengkomersialan kepada 1,021 IKS menerusi penghasilan 276 produk herba di pasaran dengan nilai lebih RM150 juta di samping mewujudkan 2,600 peluang pekerjaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment