My Add

Thursday 27 September 2012

Instrumen bersepadu dibangun

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
KUALA LUMPUR, RABU, 26 September, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu instrumen bersepadu bagi menilai tahap kecekapan pegawai pendidikan sedang dibangunkan sebagai langkah menjayakan usaha kerajaan meningkatkan kualiti profesionalisme guru secara berterusan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, instrumen itu perlu bagi memastikan pelaksanaan gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang bermula pada 2013 hingga 2015 mencapai objektif digariskan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, instrumen penilaian tersebut akan memberi keutamaan kepada kemahiran serta kualiti profesion perguruan secara keseluruhan.

"Hasil penilaian instrumen itu nanti, pegawai perkhidmatan pendidikan yang dikenal pasti tidak mencapai tahap kompetensi akan diberi latihan melalui modul latihan bersesuaian mengikut tahap kompetensi pegawai terbabit.

"Dalam konteks ini, tenaga pakar di Institut Pendidikan Guru, Institut Aminuddin Baki serta Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris akan digembleng sebagai jurulatih untuk melaksanakan latihan peningkatan profesionalisme guru," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu)mengenai sejauh mana falsafah pendidikan kebangsaan dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 dapat membentuk perpaduan.

Turut sama mengemukakan soalan berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan itu ialah Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas); Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) dan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau).

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, seiring dengan langkah tersebut, peranan semua organisasi di kementerian termasuk Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan diperkasa dan diperkukuh dari segi struktur serta fungsinya.

"Usaha ini akan dilaksanakan dengan segera dan saya sendiri akan memantau pelaksanaan ini melalui pasukan petugas implementasi yang dianggotai wakil beberapa agensi kerajaan dan swasta.

"Pasukan ini juga akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam memantau dan menilai pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, bagi memastikan pelan tersebut memenuhi inspirasi dan kehendak rakyat, ia akan dibentangkan semula kepada umum melalui Program Hari Terbuka di enam zon di seluruh negara bermula 6 hingga 20 Oktober ini.

Selain itu, katanya, Kementerian Pelajaran juga telah menyediakan platform untuk membolehkan rakyat memberi maklum balas secara terbuka, bertulis dan dalam talian.

"Sehingga kini lebih 150 memorandum telah diterima daripada pelbagai pihak dan secara amnya menyentuh mengenai pembahagian ekuiti sama rata untuk semua sekolah selain penekanan penggunaan bahasa Inggeris dengan lebih komprehensif," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment