My Add

Wednesday 19 September 2012

Karung wang berisi RM1.2 juta dilarikan
 

*Anggota Unit Forensik polis memeriksa sebuah van keselamatan selepas seorang pengawal keselamatan mati ditembak dan wang berjumlah RM1.2 juta dilarikan di Kamunting, Taiping, Perak, semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz

Oleh ASLIZA MUSA 
TAIPING, SELASA, 18 September, 2012: 'Kawan makan kawan', itulah istilah yang tepat bagi menggambarkan tindakan seorang pengawal keselamatan yang sanggup menembak rakan setugasnya sebelum melarikan enam beg plastik berisi wang tunai berjumlah kira-kira RM1.2 juta yang dibawa dalam sebuah van keselamatan di Jalan Tekah, Asam Kumbang di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika mangsa, Hasnul Hafis Saad, 28, dalam perjalanan pulang bersama suspek ke syarikat tempat mereka bekerja, Safeguard Securicor di Kampung Boyan selepas mengambil wang mesin deposit di beberapa bank berhampiran.

Mangsa ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan empat kesan tembakan di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri.

Sehingga pukul 8.30 malam ini, polis masih memburu rakan mangsa yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, pemeriksaan ke atas van tersebut mendapati enam daripada 13 plastik hitam mengandungi wang bernilai RM1.2 juta telah hilang dalam kejadian itu.

"Kita masih siasat bagaimana van itu boleh berada di jalan tersebut sedangkan kita dimaklumkan oleh pihak syarikat bahawa ia bukan laluan van itu hari ini.

"Siasatan awal juga mendapati tiada kesan pergelutan dan kesan kekerasan dari luar van berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yusof berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya sedang mengesan rakan mangsa yang menghilangkan diri bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, polis sedang mengesan seorang lelaki, Mohd. Hafizuddin Zainal Abidin (gambar), 25, yang dipercayai dapat membantu siasatan kes tersebut.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi 05-8291222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment