My Add

Tuesday 25 September 2012

Kelindan lori hadapi tujuh pertuduhan pecah rumah dan mencuri

IPOH, SELASA, 25 September, 2012:: Seorang kelindan lori dihadapkan ke empat Mahkamah Majistret berasingan hari ini atas tujuh pertuduhan pecah rumah dan mencuri di sekitar bandar raya ini, sejak 2010 hingga Mac lalu.

T Dinesh Kumar, 21, dari Taman Muda, Simpang Pulai dekat sini, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tuduhan itu. 

Dia didakwa memecah masuk tujuh rumah membabitkan kerugian lebih RM46,000 dan antara barangan yang dicuri termasuk televisyen LCD, komputer riba, jam tangan Rolex, barangan kemas dan wang tunai.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 11 malam hingga jam 7.30 pagi sejak, Mei 2010 hingga Mac 2012.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan empat Majistret iaitu Shamsol Azwa Mar Kadza, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Haslinda Raof dan Majistret Nor Melati Diana Abdul Wahab.

Semua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 454 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan denda dan sebatan.

Mahkamah membenarkan Dinesh yang diwakili peguam Mahinderjit Singh diikat jamin berjumlah RM25,800 dengan tujuh orang penjamin dan menetapkan 24 Oktober untuk sebutan semula kes. 

Pendakwaan dikendalikan empat Timbalan Pendakwa Raya iaitu K Kavitha, Muhammad Fauzi Md Yusof, Nurul Qistina Qamarul Abrar dan Muhammad Nor Abduhrrahim. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment