My Add

Saturday 22 September 2012

Kerajaan tinjau bangunan sesuai untuk Pusat Transformasi Bandar: Najib

KUALA LUMPUR, SABTU, 22 September, 2012: Kerajaan kini mencari bangunan sesuai di bandar-bandar utama yang lain di negara untuk ditukarkan menjadi Pusat Transformasi Bandar (UTC), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan UTC terbaharu di Pudu Sentral hari ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mencari bangunan yang sedia ada untuk diubahsuai, supaya kos dan tempoh siap pada kadar minimum.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, kos UTC di Pudu Sentral adalah RM24 juta, termasuk peralatan, yang mengambil masa hanya enam minggu untuk disiapkan.

UTC, dibuka dari jam 8.30 pagi sehingga 10 malam setiap hari termasuk Ahad, adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan sistem penyampaian dengan meletakkan agensi-agensi kerajaan dan swasta di bawah satu bumbung.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pusat berkenaan, yang menyediakan banyak perkhidmatan melalui 31 agensi, akan meningkatkan kapasiti masyarakat yang tinggal di kawasan itu.

"Sekarang ini, terdapat kira-kira 1.6 juta orang tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kita percaya pusat ini boleh membantu mereka dari segi mendapatkan perkhidmatan kerajaan," katanya.

Antara 10 kelompok perkhidmatan UTC adalah keselamatan, utiliti, pertubuhan bukan kerajaan, perkhidmatan awam dan perkhidmatan kewangan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment