My Add

Monday 24 September 2012

Kerugian Bank Negara RM5.7 bilion sudah dilunas

KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 September, 2012: Kerugian RM5.7 bilion yang dialami Bank Negara Malaysia berkaitan pertukaran wang asing pada awal 1990-an sudah dilunaskan dalam masa 10 tahun sehingga 2002.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim, berkata isu kerugian berkenaan yang dilaporkan dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 1993, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajuinya selaku Menteri Kewangan. 

“Kita hendak ambil tindakan, tetapi apabila hendak ambil tindakan berkenaan, mereka buat aduan luar," katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (Bagan-DAP) di Dewan Rakyat di sini.

Lim ingin tahu jumlah kerugian sebenar yang dialami oleh Bank Negara dalam pasaran pertukaran wang asing dari 1990 hingga 2012, dan siapa yang dikenal pasti bertanggungjawab dan mengapa tiada sebarang tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Kerugian Bank Negara itu pernah dibangkitkan di Parlimen pada 1993, ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan menggantikan Tun Daim Zainuddin yang meletak jawatan pada 15 Mac 1991.

Timbalan Menteri itu berkata sejak kerugian itu, Bank Negara tidak lagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan risiko berkenaan berulang.

Dalam menguruskan rizab antarabangsa, beliau berkata Bank Negara sudah mengambil langkah-langkah untuk memantapkan pengurusan rizab dan melaksanakan tadbir urus yang ketat dengan memperkenalkan proses pelaburan berasaskan jawatankuasa di mana perkongsian akauntabiliti antara pengurusan kanan diperluaskan. 

"Selaras dengan amalam pasaran terbaik, Bank Negara telah memperkenalkan penanda aras pelaburan dan kawalan risiko dalam pengurusan rizab antarabangsa, dengan menubuhkan Unit Pengurusan Risiko Perbendaharaan.

"Unit itu bertujuan untuk menilai dan memantau risiko pelaburan. Aktiviti-aktiviti pelaburan rizab juga turut diawasi dan diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan Jabatan Audit Dalam Bank Negara Malaysia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment