My Add

Friday 14 September 2012

Konvensyen Fiqh bercanggah AUKU, UIAM minta maaf

NURUL AINI MOHAMED ALI
GOMBAK, jumaat, 14 September, 2012: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini memohon maaf kepada penganjur Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa kerana membatalkan tempahan auditorium kira-kira 36 jam sebelum ia diadakan sambil menegaskan, penganjurannya bercanggah dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Ekoran pembatalan itu penganjur mencari lokasi baru konvensyen, yang akan berlangsung dari pagi hingga malam esok.

Penolong Pengarah Perhubungan Media dan Promosi, Subki Ahmad berkata, pembatalan tempahan auditorium terpaksa dibuat di saat akhir kerana mendapat arahan daripada Rektor UIAM, petang semalam.

"Kami hanya mengikut arahan Rektor bagaimanapun kami turut berterima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi memberi kerjasama," katanya ketika ditemui Sinar Harian Online, hari ini.

Sumber menambah, alasan yang diberikan ialah penganjuran konvensyen ini, yang dijangka disertai oleh pembentang kertas kerja dari parti politik kerajaan yang memerintah dan pembangkang, bercanggah dengan semangat Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Konvensyen sehari itu, anjuran bersama K-Fiqh Sdn Bhd dan Murshid, diadakan untuk mengupas isu-isu berkaitan politik menurut fiqh dan pandangan masa kini. Ia antara lain menghimpunkan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr
Mohd Asri Zainul Abidin dan pensyarah UIAM, Dr Maszlee Malik.

Penganjur sebelum ini berkata, konvensyen julung kali diadakan ini, yang menyentuh politik tanah air, akan membincangkan kaedah pentadbiran dalam pemerintahan Islam dengan mengetengahkan konsep wasathiyah.

Subki menambah, tindakan pihak universiti membatalkan tempahan auditorium di saat akhir turut disebabkan perlembagaan universiti bercanggah dengan Auku.

"Sebelum ini, kami difahamkan konvensyen yang bakal diadakan hanya menjemput tokoh akademik sahaja dan tidak melibatkan mana-mana ahli politik, jadi tempahan auditorium dapat diluluskan.

"Tetapi apabila kami meneliti dan mengkaji semula melalui carian di laman sesawang lain, kami mendapat tahu konvensyen melibatkan ramai ahli politik negara, jadi ia terpaksa dibatalkan di saat akhir," katanya.

Bagaimanapun, menurut penganjur hari ini konvensyen akan tetap diteruskan dan bakal diadakan di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

No comments:

Post a Comment