Koperasi pertanian luar bandar ala Jepun
KYOTO, AHAD,23 September, 2012: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan mempertimbangkan penubuhan sebuah koperasi pertanian yang boleh membangunkan masyarakat luar bandar berdasarkan model yang ada di Jepun.
Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkara itu akan dibawa kepada Kabinet selepas pihak kementerian meneliti hasil kajian mengenainya.
"Saya akan lihat dahulu (kajian ini) dan meneliti secara mendalam kerana kita harus tahu dari segi strukturnya dahulu tentang cara dan pendekatan yang mereka lakukan dan konsepnya yang boleh kita terjemahkan dan sesuaikan dengan keadaan di negara kita.
"Kita tidak ambil sepenuhnya konsep koperasi masyarakat luar bandar (di Jepun) yang agak berlainan. Jadi, kita perlu buat ubah suai," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini selepas melawat dan bertemu pemimpin masyarakat luar bandar di Oohara, 20 kilometer dari bandar ini.
Oohara adalah contoh kawasan luar bandar yang berjaya dibangunkan oleh kerajaan Jepun dengan memberi bantuan kewangan kira-kira 70 peratus dan selebihnya ditanggung koperasi dan penduduk setempat.
Oohara juga berjaya menjadi satu kawasan pertanian bagi masyarakat desa di sekitar kawasan itu, sekali gus mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada bantuan kerajaan dengan aktivitinya yang mampu memberi pulangan lumayan.
Mohd. Shafie berkata, usaha itu dilihat sebagai satu daripada pendekatan masyarakat Jepun untuk membangunkan kawasan luar bandar dengan memperkenalkan pendekatan yang komprehensif berteraskan pertanian.
"Saya dimaklumkan bahawa hampir 150 pembekal ada di sini. Ada yang membekalkan hampir 80 peratus makanan dan lain-lain, 20 peratus lagi kraftangan dan bunga.
"Jualan dalam hari bekerja (Isnin hingga Jumaat) ialah dalam lingkungan 400,000 yen (RM16,000) hingga 500,000 yen (RM20,000) sehari manakala dalam hari minggu boleh mencecah sehingga 1 juta yen (RM40,000) dan 1.2 juta yen (RM48,000).
"Mereka menggunakan pulangan ini dengan berkongsinya bersama di mana koperasi dan petani juga mendapat manfaat," katanya.
Mohd. Shafie berkata, kira-kira 300 orang mengunjungi Oohara pada hari bekerja dan mencecah 800 orang pada hujung minggu kerana bandar ini terkenal dengan sayur-sayuran organik.
Beliau berkata, konsep itu adalah mekanisme terbaik untuk membangunkan masyarakat luar bandar dan amat berbeza dengan konsep pasar tani yang berteraskan individu.
Selain mengunjungi Oohara, kawasan pertanian seperti padi, sayuran dan buah-buahan, Mohd Shafie yang dalam lawatan kerja lima hari ke Jepun sejak 20 September lepas turut melawat sebuah kedai pembuatan seramik di sini.
-
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad. BERNAMA
No comments:
Post a Comment