My Add

Monday 24 September 2012

Lanun Somalia: Perbicaraan bermula esok

KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 September, 2012: Perbicaraan kes tujuh warga Somalia yang didakwa melepaskan tembakan terhadap komando Malaysia di Teluk Aden akan bermula esok selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan salah seorang tertuduh untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.

Hakim Kamardin Hashim memutuskan Pejabat Peguam Negara mempunyai bidang kuasa mengikut Seksyen 22 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mendakwa pemohon, seorang remaja berusia 16 tahun. 

Beliau berkata, surat untuk mendakwa pemohon yang dikeluarkan Peguam Negara adalah sah kerana ia dikeluarkan selaras dengan Seksyen 127A(1)(d) Kanun Tatacara Jenayah.

Berhubung isu yang dibangkitkan peguam pemohon Edmund Bon mengenai fakta yang dinyatakan di dalam pertuduhan, Kamardin berkata ia harus diputuskan mahkamah di akhir perbicaraan.

Berikutan perkembangan itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas memberitahu pemberita, pihak pendakwaan bercadang memanggil 100 saksi termasuk kru kapal MT Bunga Laurel.

Pada 5 Julai lalu, juvana itu memfailkan notis usul untuk mengetepikan tuduhan itu, memohon mendapatkan perisytiharan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971.

Juvana itu, yang kini ditahan di Penjara Kajang bersama enam lagi warga Somalia, juga memohon mendapatkan perintah mahkamah agar tuduhan terhadapnya ditangguh untuk selama-lamanya dan/atau diketepikan untuk selama-lamanya dan/atau ditolak. 

Dalam afidavitnya, remaja berkenaan mendakwa kesalahan yang dikatakan dilakukannya seperti yang terkandung dalam kertas pertuduhan, berlaku di luar wilayah Malaysia dan bukan di bumi atau laut lepas Malaysia.

Dia juga mendakwa kapal yang disebut dalam pertuduhan itu bukan kapal Malaysia atau didaftarkan di Malaysia.

Mereka menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 20 Januari 2011, komando Tentera Laut Diraja Malaysia menghulurkan bantuan kepada MT Bunga Laurel apabila kapal itu diserang lanun Somalia bersenjatakan rifel AK-47 dan pistol dalam operasi menyelamat diberi nama 'Fajar' yang dijalankan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment