My Add

Wednesday 26 September 2012

Mahkamah tetapkan 23 Oktober sambung bicara kes bunuh Sosilawati

SHAH ALAM, RABU, 26 September, 2012: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 23 dan 25 Oktober depan untuk menyambung perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu ketika kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini. 

Beliau juga menetapkan tarikh sambung perbicaraan seterusnya dari 6 hingga 9 Nov dan 3 hingga 7 Disember ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff memaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan pada 13 September lalu menolak rayuan empat tertuduh, N Pathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan terhadap keputusan Akhtar mengetepikan sapina yang mereka keluarkan kepada tiga timbalan pendakwa raya termasuk beliau untuk menjadi saksi perbicaraan.

Ishak berkata, permohonan keempat-empat tertuduh untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan mereka kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu juga telah ditolak.

Pada 23 Julai lalu, Akhtar menolak permohonan Pathmanabhan, bekas peguam dan tiga pekerja ladang Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan untuk mensapina Ishak, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani, untuk tampil sebagai saksi.

Langkah itu bertujuan mengenepikan dua barang kes yang dikemukakan ketiga-tiga timbalan pendakwa raya berkenaan pada akhir kes pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan dua saksi pendakwaan U Suresh dan K Sarawanan yang didakwa berpaling tadah. 

Dua barang kes itu ialah nota prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, di mana Suresh dan Sarawanan mengaku bersalah terhadap tuduhan melupuskan bukti berkaitan pembunuhan itu dan dikenakan hukuman tujuh tahun penjara setiap seorang.

Tiga timbalan pendakwa raya itu juga terbabit dalam prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datok.

Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, selepas Mahkamah Rayuan tidak memberi kebenaran kepada mereka pada 24 Ogos tahun lalu untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menambah hukuman penjara terhadap mereka.

Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan diperintah membela diri terhadap tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Ladang Gadong, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment