My Add

Tuesday 25 September 2012

MAS mula khidmat harian kelima laluan KL-Bangkok pada Oktober

KUALA LUMPUR, SELASA, 25 September, 2012: Malaysia Airlines akan memulakan perkhidmatan harian kelima antara Kuala Lumpur dan Bangkok, pada 28 Oktober, menyambut ulang tahun ke-40 operasi penerbangan antara kedua-dua bandar raya berkenaan.

Penerbangan harian baru MH796 itu akan berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 9.55 malam untuk tiba di Bangkok pada 11 malam, manakala penerbangan pulang dari ibu negara Thailand itu berlepas setiap hari pada jam 6.20 pagi untuk tiba di Kuala Lumpur pada jam 9.30 pagi. 

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata, penerbangan berkenaan akan menggunakan pesawat B737-800 dengan 160 tempat duduk, yang terdiri daripada 16 tempat duduk Kelas Bisnes dan 144 Kelas Ekonomi.

Dengan penerbangan empat kali sehari sedia ada dan penerbangan harian baru mulai 29 Oktober, Malaysia Airlines akan menawarkan jumlah kapasiti mingguan sebanyak 5,568 tempat duduk bagi setiap arah, peningkatan 25 peratus daripada kapasiti semasa.

Syarikat penerbangan itu akan meneruskan penerbangan dua kali sehari perkhidmatan pesawat B737-800 antara Phuket dan Kuala Lumpur serta operasi perkongsian kod dengan Bangkok Air bagi Bangkok-Koh Samui (31 penerbangan seminggu), Bangkok-Phuket (14 penerbangan seminggu), Bangkok-Chiang Mai (14 penerbangan seminggu), Koh Samui-Phuket (14 penerbangan mingguan) dan Koh Samui- Kuala Lumpur (penerbangan harian). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment