My Add

Friday 21 September 2012

Mufti Pahang minta umat Islam ketepi fahaman politik untuk jaga agama

KUANTAN, JUMAAT, 21 September, 2012:: Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman meminta umat Islam di negara ini mengenepikan perjuangan politik dan bergabung untuk menjaga kesucian agama Islam.

Katanya, umat Islam tidak boleh meletakkan kepentingan politik melebihi agama dalam isu yang mencemarkan kesucian Islam.
"Ada pihak (bertindak) untuk menjaga hati orang politik yang secara tidak langsung pijak agama itu sendiri.

"Kalau kita mengutamakan politik kita akan dapat politik tapi kalau perjuangan kerana Allah kita akan diberi ganjaran olehNya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan pihak yang menghina agama Islam dan Nabi Muhammad S.A.W menerusi penerbitan filem pendek 'Innocence Of Muslims' baru-baru ini.

Mengulas permohonan maaf Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham susulan kenyatannya dalam akaun Twitter yang mempertikaikan bantahan umat Islam terhadap filem itu, Abdul Rahman berkata, Ngeh perlu turut memohon maaf kepada raja-raja Melayu selaku ketua agama Islam di setiap negeri yang berkenaan.

Katanya, pemimpin DAP itu juga harus mengambil iktibar daripada insiden tersebut supaya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan terutama berhubung sensitiviti agama.
Abdul Rahman juga meminta umat Islam yang membantah filem tersebut supaya tidak bertindak agresif serta menjaga tingkah laku masing-masing selaras dengan ajaran Islam yang mengutamakan keamanan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment