My Add

Sunday 23 September 2012

Najib mahu pihak berkuasa siasat Suaram

KUALA LUMPUR, SABTU, 22 September, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat secara terperinci mengenai dakwaan pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menerima dana asing bagi tujuan menyemai kebencian terhadap kerajaan.

"Biar pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa berkaitan siasat," kata Perdana Menteri ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Suaram menerima dana asing berjumlah RM2.4 juta sejak 2005 hingga 2011.

Terdahulu, beliau merasmikan Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur (UTC KL) di sini hari ini.

Kelmarin akhbar mendedahkan Suaram menerima dana asing secara konsisten sejak 2005 hingga 2011 iaitu sebanyak RM1.6 juta daripada National Endowment for Democracy (NED) dan RM845,835 daripada Open Society Institute (OSI) yang diasaskan penyangak mata wang, George Soros.

Malah akhbar turut mendedahkan, peguam Perancis yang mewakili Suaram bagi memfailkan saman pemula ke atas pembuat kapal selam pertama negara dari kelas Scorpene iaitu syarikat DCNS juga dipercayai dibiayai menerusi dana asing yang diterima pertubuhan tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan Arab Saudi menolak permohonan Malaysia agar kuota haji negara ditambah, Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut bukan terletak di tangan kerajaan dan beliau enggan mengulas lanjut.

Mengenai kejayaan pasukan Ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M) yang menamatkan misi mereka, Najib melahirkan rasa bangga kerana bukan mudah untuk 'menawan' selat yang ganas tersebut.

Katanya, kejayaan ekspedisi itu adalah pencapaian besar kepada negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara amnya kerana hanya mereka yang berani, cekal dan mempunyai semangat Malaysia Boleh sahaja mampu melakukannya.

"Saya amat berbangga mereka dapat berenang dan merentasi Selat Inggeris yang bukan mudah kerana ombaknya 'mengganas' dan banyak rintangan terpaksa dilalui. Saya juga bangga kerana ada rakyat yang begitu cekal, berani dan mempunyai semangat Malaysia Boleh," katanya.

Estino Taniyu, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) muncul perenang kedua negara yang berjaya menakluki Selat Inggeris. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment