My Add

Saturday 22 September 2012

Najib setuju KTAR dinaik taraf jadi kolej universiti
*Najib Tun Razak mengibarkan Jalur Gemilang ketika nyanyian lagu 1Malaysia pada Majlis Makan Malam Penghargaan anjuran Persatuan Alumni Kolej Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, malam tadi. Turut kelihatan Dr. Chua Soi Lek (kiri) dan Presiden Alummi KTAR, Tan Sri Barry Goh (kanan). - utusan/Muhamad Iqbal Rosli
KUALA LUMPUR, JUMAAAT, 21 September, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dan menyokong cadangan agar Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dinaik taraf menjadi kolej universiti.

Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan kerajaan akan terus menyalurkan peruntukan kewangan kepada KTAR walaupun setelah institusi itu dinaik taraf sebagai kolej universiti.

"Permohonan agar KTAR dinaik taraf kepada kolej universiti sudah dikemukakan kepada Kabinet dan saya yakin kolej ini mampu memenuhi semua syarat ditetapkan untuk mencapai status itu.

"Ini kerana kolej ini adalah lambang kepada akses pendidikan berkualiti apabila seramai 160,000 Alumni KTAR kini muncul sebagai modal insan yang berperanan dalam menyumbang kepada kemajuan negara.

"Bagi kerajaan, kita memberi jaminan akan meneruskan bantuan kepada KTAR walaupun sudah dinaik taraf kepada kolej universiti kelak," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Alumni KTAR, di sini malam ini.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang juga Pengerusi Majlis KTAR dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan telah menyalurkan bantuan sebanyak RM766 juta kepada KTAR dan ia bukti Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan komited dalam usaha membangunkan bangsa Malaysia tanpa mengira keturunan atau warna kulit.

Katanya, kerajaan sedar untuk menjayakan hasrat muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, akses kepada pendidikan berkualiti perlu dipertingkatkan bagi melahirkan modal insan yang dapat menyumbang kepada cita-cita tersebut.

"Inilah yang kita lakukan sejak mencapai kemerdekaan 55 tahun dahulu kerana melalui pendidikan berkualiti jugalah ia akan menyatukan bangsa Malaysia melalui gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment