My Add

Friday 14 September 2012

Najib: UMNO masih parti terbaik tadbir Malaysia

NURUL AINI MOHAMED ALI
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin yang Umno dan Barisan Nasional (BN) masih lagi relevan dan parti yang terbaik untuk menerajui tampuk pemerintahan negara walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai isu dan kontroversi

"Kita sendiri sudah buktikan, untuk membawa sesuatu perubahan itu, tidak semestinya kita menolak parti yang memerintah," kata beliau semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC, hari ini.

Tambah beliau, Umno membuktikan mampu membawa perubahan kepada negara dan sebuah parti yang sentiasa "kena" atau sesuai sepanjang zaman.

"Perubahan dan peningkatan ekonomi negara menjadi bukti yang Umno mampu membawa kejayaan yang memberangsangkan," katanya.

Beliau turut berkata, sebagai parti yang telah lama ditubuhkan di negara ini, Umno terbukti menjadi salah sebuah teras kepada negara.

"Kita berjaya mentadbir negara dengan baik setiap kali berdepan dengan cabaran, kita tidak pernah rasa tertekan sebaliknya berfikir cara dan pendekatan yang perlu diambil untuk menyelesaikan sesuatu perkara," jelas beliau.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, walaupun terpaksa berdepan dengan polemik politik negara, Umno masih mampu mencorak dan memimpin dasar negara agar terus berkembang.

Dalam pada itu, Najib menyeru supaya semua sayap pimpinan parti BN dan Umno supaya meneruskan perjuangan habis-habisan agar Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti memberi semula kekuatan kepada perikatan itu.

Menurutnya, peranan pimpinan dalam pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno amat penting bagi memastikan parti terus menjadi sebuah parti yang berwibawa bagi memimpin negara.

"Justeru itu, marilah kita bersama-sama memainkan peranan agar dasar kita selama ini menjadi lebih inklusif dan merangkumi segenap kelompok masyarakat," kata Pengerusi BN ini.

Beliau turut menyurakan penghargaan kepada semua pimpinan dalam parti yang memainkan peranan dan menyumbang khidmat kepada parti.

"Peranan yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin sayap parti merupakan sumbangan yang cukup bernilai dalam parti," katanya.

Najib turut berkata yang pembangkang gerun dengan Umno kerana tidak mampu menunaikan janji yang pernah ditabur kepada rakyat.

"Walau apa pun yang terjadi, rakyat sendiri yang akan buat penentuan sebenar semasa PRU13 nanti," katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment