My Add

Saturday 22 September 2012

Nik Aziz: Boikot produk Yahudi

*Nik Aziz berucap semasa demonstrasi bantahan yang diadakan di Dataran Ilmu.

ROSMIZA KASIM .
KOTA BHARU, JUMAAT, 21 September, 2012: Bukan setakat berdemonstrasi memprotes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW menerusi filemInnocence of Muslims, tetapi Pas Kelantan turut mengajak umat Islam di negara ini memboikot barangan keluaran Yahudi sebagai tanda bantahan.

Bagi tujuan itu, Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap selepas demonstrasi yang diadakan serentak di Kuala Lumpur hari ini, oleh Pemuda Pas dan Pemuda Umno, satu jawatankuasa dapat ditubuhkan untuk melaksanakan boikot barangan Yahudi secara serius.

Nik Aziz berkata, kerja membuat bantahan itu bukan tanggungjawab kerajaan sahaja, tetapi sebagai umat Islam ia perlu dilakukan apabila wujudnya penghinaan agama.

“Tidak padan dengan demonstrasi ini, ada benda yang kita kena buat iaitu boikot barangan dia (Yahudi), makanan, pakaian dan jawatankuasa di peringkat pusat kena senaraikan barangan-barangan tersebut.

“Dalam pada itu, mereka perlu menyatakan juga sebab-sebab produk-produk tersebut perlu diboikot,” katanya ketika Demo Bantahan Terhadap Filem Menghina Rasullulah SAW di Dataran Ilmu, hari ini.

Sebagai tanda bantahan dan kemarahan terhadap filem Innocence of Muslims yang secara jelas menghina Muhammad SAW terbabit, kira-kira 2,000 umat Islam di negeri ini termasuk Exco Kerajaan Negeri berhimpun secara aman di Dataran Ilmu di sini.

Semasa demonstrasi anjuran Dewan Pemuda Pas negeri, yang diadakan kira-kira jam 10.30 pagi selepas kuliah mingguan Nik Aziz bersama Ketua Pemuda Pas Negeri, Abdul Latiff Abdul Rahman serta yang lain turut membakar replika cakera padat filem Innocence of Muslims dan turut diselangi dengan laungan Hidup! Hidup! Hidup Islam.

Demonstrasi hampir satu jam tersebut turut dihadiri artis terkenal tanah air, Wan Aisyah Wan Ariffin dan sebelum itu beliau mengambil peluang mendengar kuliah mingguan yang disampaikan Nik Aziz serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Dalam perkembangan sama, Abdul Latiff juga meminta Malaysia menekan kerajaan Amerika supaya penerbit filem tersebut meminta maaf secara terbuka dan menarik balik filem yang mengguris hati seluruh umat Islam.

"Kami juga mahu Presiden Amerika, Barack Obama memerhatikan segala bentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, sekiranya tidak kita berdoa supaya orang yang menghina Nabi Muhammad SAW dilaknat ALLAH SWT,” katanya.

Katanya, himpunan tersebut dilaksanakan sebagai membantah filem penghinaan terhadap Islam dan menunjukkan kebencian kepada pihak yang mengkhianati Islam serta merendah-rendahkan Nabi Muhammad SAW. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment