My Add

Monday 24 September 2012

PBB ulangi komitmen bantu Myanmar 

*AUNG San Suu Kyi dan Ban Ki-Moon bercakap kepada wartawan selepas mengadakan pertemuan di ibu pejabat PBB di New York, kelmarin. - AFP

NEW YORK, AHAD, 23 September, 2012: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon menegaskan sekali lagi komitmen badan dunia itu untuk membantu Myanmar mencari perdamaian di negara berkenaan, yang melibatkan peranan penting pemimpin pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi.

PBB menganggap Myanmar sebagai sebuah negara anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang semakin penting peranannya dalam pertubuhan serantau itu.

"Kami meletakkan harapan tinggi yang beliau (Suu Kyi) akan dapat merintis jalan ke arah perdamaian dan pembangunan Myanmar serta penyertaan negara itu secara lebih menyeluruh dalam demokrasi, bersama Presiden Myanmar Thein Sein," kata Ki-moon pada sidang media yang turut dihadiri Suu Kyi di ibu pejabat PBB, semalam.

Ki-moon menyatakan "penghormatan tinggi" beliau terhadap Presiden Thein Sein, yang akan tiba di New York tidak lama lagi untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB, dan Aung San Suu Kyi.

"Mereka sedang merintis jalan ke arah perdamaian dan kestabilan politik serta demokrasi dan hak asasi manusia...dan saya yakin beliau akan memberi sokongan secara berterusan," kata Ki-moon.

Sebelum berucap pada sidang media itu, Ban mengadakan pertemuan dengan Suu Kyi untuk membincangkan pelbagai isu, termasuk cara yang boleh digunakan PBB untuk membantu memperkemas proses demokrasi di Myanmar.

Ketika melawat Myanmar pada Mei lalu, Ki-moon menemui Suu Kyi untuk julung kalinya di rumah Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu.

"Pada pertemuan itu, kami berbincang tentang kemungkinan beliau melawat PBB.

Saya mengundang beliau melawat PBB. Sebenarnya, beliau adalah seorang petugas PBB dan oleh itu, saya amat mengalu-alukan kepulangan beliau," kata Ki-moon, sambil menyifatkan Suu Kyi sebagai "simbol harapan" bagi hak asasi manusia sejagat.

Beliau berkata, Suu Kyi kini bukan saja menyandang jawatan setiausaha agung parti politik Liga Kebangsaan bagi Demokrasi, tetapi juga seorang anggota Parlimen Myanmar dan pengerusi Jawatankuasa Kedaulatan Undang-undang dan Kestabilan.

"Ini agak penting juga dan sehubungan itu, beliau boleh terus membantu rakyat Myanmar dan ramai lagi orang di seluruh dunia yang mungkin mengalami kesulitan serupa dan menjadi mangsa penindasan hak asasi manusia seperti yang telah dialami rakyat Myanmar dan beliau sendiri," kata Ki-moon. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment