My Add

Wednesday 26 September 2012

Pegawai kolej swasta didakwa pecah amanah hampir RM500,000

KUALA LUMPUR, RABU, 26 September, 2012: Seorang pegawai bahagian sumber manusia di sebuah kolej swasta hari ini mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pecah amanah membabitkan wang pembayaran gaji berjumlah RM495,000 tiga tahun lalu.

Nadiah Kamaruddin, 35, yang bekerja di syarikat Cosmopoint Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini melakukan kesalahan pertama hingga ketiga dengan cara memasukkan wang itu ke dua akaun Maybank dan satu akaun CIMB Bank miliknya antara 29 Mei 2009 dan 10 Februari 2012, berjumlah RM367,746.01.

Bagi dua lagi pertuduhan, ibu kepada empat anak termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan itu didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan wang berjumlah RM127,263.78 dengan cara memasukkan wang itu ke akaun Ambank milik suaminya antara 31 Mei 2010 dan 30 Disember 2011.

Nadiah, yang kini digantung tugas, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Cosmopoint Sdn Bhd di Jalan Tiong Nam berdekatan (off) Jalan Raja Laut di sini dan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan, serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan yang memerlukan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali kerana tuduhan yang dihadapinya membabitkan jumlah wang yang besar.

Namun, peguam Mohamad Fozi Zain yang mewakili Nadiah memohon supaya wang jaminan dikurangkan kepada RM15,000 kerana jaminan yang ditawarkan itu adalah diluar kemampuan anak guamnya, dan suami tertuduh pula hanya bekerja di syarikat menjual kereta terpakai.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan terbabit dan menetapkan 29 Oktober untuk sebutan kes. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment