My Add

Saturday 22 September 2012

Pelan berusaha atasi kelemahan sistem pendidikan

NANNING (China), SABTU, 22 September, 20112: Pelan Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025 berusaha mengatasi kelemahan sistem pendidikan negara berkaitan soal kualiti bagi menganjakkan kedudukan pendidikan negara melalui pelan perancangan 13 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ketika menolak pandangan kononnya laporan awal pelan itu menunjukkan Malaysia berhadapan dengan krisis sistem pendidikan berkata kelemahan yang dikesan dalam sistem ialah soal kualiti dan tidak berbangkit soal krisis.

"Ia adalah kelemahan yang kita sudah kenal pasti dan kita akan atasi supaya rakyat tahu," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan sempena lawatan kerjanya ke China.

Beliau berkata sistem pendidikan negara yang melalui proses lebih 50 tahun sudah mencapai kejayaan seperti pendidikan sejagat dan dapat dilaksanakan di mana hampir 93 peratus daripada rakyat Malaysia boleh pergi ke sekolah dan sebahagian besar boleh membaca, mengira dan menulis.

"Itu satu pencapaian besar cuma selepas lima dekad, kita dapati perlu sistem kita ini selari dengan perkembangan negara maju walaupun ada kelemahan, baik kita mengakui kelemahan itu dan adakan kajian. 

Elok ada kajian supaya kita dapat atasi kelemahan," katanya.

Muhyiddin berkata pelan pembangunan pendidikan itu dianggap penting bukan setakat menyaksikan 'di mana kita berada' tetapi bentuk inisiatif yang dibuat untuk mengatasi masalah supaya dalam tempoh 13 tahun Malaysia dapat menganjak kedudukannya menerusi pelan perancangan tiga gelombang. 

"Tiap-tiap tahun, satu persatu dijelaskan dalam pelan tindakan, ini tidak pernah dibuat sebelum ini," katanya.

Muhyiddin mempelawa parti politik yang menganggap terdapat kekurangan dalam sistem pendidikan negara untuk membantu kerajaan menambahbaikannya.

"Kalau mereka ikhlas dan tidak politikkan isu pendidikan, kemukakan cadangan dan cari pakar yang faham. Mereka kata kita mempolitikkan pendidikan, tidak.

"Keputusan buat pelan tindakan dibuat Perdana Menteri dan saya, tetapi cara nak buat nak atasi kelemahan, nak tambah tokok itu pakar yang buat, saya tidak duduk pun dalam itu. Itu peranan mereka. Kita nak buat yang terbaik untuk masa depan anak-anak kita," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment