My Add

Thursday 27 September 2012

Pembaharuan perundangan
 *NAJIB Tun Razak kelihatan tersenyum bersama Lim Chee Wee (lima kiri) ketika melawat tapak pameran selepas merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED dan AINUL ASNIERA AHSAN 
KUALA LUMPUR, RABU, 26 September, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan pembaharuan dalam sistem perundangan negara akan dilakukan secara berterusan.

Beliau berkata, walaupun sesetengah pengamal undang-undang terutama pejuang hak asasi memilih melihat proses itu menerusi pandangan serta perspektif berbeza, kerajaan tidak akan menarik semula segala pembaharuan yang sudah dilakukan.

Jelas beliau, kemajuan dalam undang-undang telah diperkenal kerajaan secara beransur-ansur sejak setahun lalu, termasuk janji kepada rakyat untuk memansuhkan tiga proklamasi darurat selain pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1971; Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933.

"Saya sedar sesetengah pengamal undang-undang masih memilih untuk melihat proses pembaharuan undang-undang dari sudut berbeza. Kepada mereka saya ingin katakan, adalah lebih mudah untuk meruntuhkan sesuatu daripada membinanya.

"Kerja keras untuk membina asas yang kukuh adalah mengambil masa. Seperti Rome yang tidak dibangunkan dalam sehari, begitu juga pembinaan sebuah negara Malaysia yang adil, saksama dan demokratik tidak boleh dicapai semalaman.

''Kita sudah memulakan bukan hanya langkah pertama tetapi banyak langkah, namun perjalanan itu masih panjang dan berterusan," katanya.

Beliau berucap merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa anjuran Majlis Peguam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee.

Ini merupakan kali pertama Najib menghadiri majlis anjuran Majlis Peguam yang selama ini dilihat sebagai propembangkang.

Najib berkata, selain pemansuhan proklamasi darurat dan akta lain, kerajaan juga memenuhi janji kepada rakyat meningkatkan hak kebebasan bersuara dan memberikan pendapat dengan meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Kita mahu mendengar kritikan membina daripada rakyat bagi membolehkan kita menjadi kerajaan yang baik. Langkah lain untuk memastikan keadilan dinikmati semua rakyat yang menghadapi masalah perundangan adalah dengan penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan atau YBGK.

"Ia menjadi detik penting dalam sistem keadilan di negara ini dan inisiatif itu telah membawa hasil yang positif. Sebagai contoh, antara April hingga Julai tahun ini, peguam YBGK telah membantu seramai 16,274 orang yang berdepan tindakan reman dan perbicaraan," jelasnya.

Menurut Najib, penubuhan YBGK menandakan era baru dalam kerjasama antara Pejabat Peguam Negara, agensi penguat kuasa, badan kehakiman, Majlis Peguam serta Persatuan Undang-undang Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak.

Perdana Menteri berkata, Majlis Peguam tetap menjadi rakan penting dalam memastikan kedaulatan undang-undang dan sistem keadilan negara.

"Apabila mereka bersuara, kita akan dengar. Kita mungkin tidak semestinya sentiasa bersetuju dengan pandangan atau beberapa aktiviti yang dijalankan Majlis Peguam, tetapi kerajaan mendengar apa yang mereka perkatakan dan memberi perhatian kepada apa yang mereka lakukan.

"Kita mungkin adakalanya membuat lawak mengenai peguam, tetapi mereka mempunyai peranan yang unik dan penting di negara ini," katanya.

Pada masa sama, Najib turut mengingatkan para peguam agar mengembangkan peranan mereka untuk bersaing di peringkat global.

Ucapan Najib yang didengar 550 orang peserta itu mendapat sorakan sokongan apabila beliau menekankan kepentingan peranan Majlis Peguam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment