My Add

Friday 14 September 2012

Samun: Pengawal keselamatan dipenjara 10 tahun, sebat

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 14 September, 2012: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menyamun seorang ejen insurans, pada Jun lalu.

Hakim S.M Komathy Suppiah memerintahkan tertuduh, P. Gopinath, 22, menjalani hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 26 Jun lalu.

Komathy berkata, dalam menjatuhkan hukuman mahkamah mengambil kira kesalahan oleh tertuduh adalah serius dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Katanya, tertuduh menyerang mangsa pada waktu siang, di tempat awam tanpa rasa takut.

Mangsa bernasib baik tidak mendapat kecederaan yang serius selepas dilepaskan oleh tertuduh ketika diserang.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon maaf atas kesilapannya itu dan menerima hukuman yang akan dikenakan tetapi merayu agar mahkamah mengurangkan hukuman terbabit.

Gopinath bersama-sama tiga lagi yang masih bebas, didakwa menyamun Law Suok Ung, 45, sebuah beg tangan dan kunci sebuah kereta BMW milik Law, berhampiran Sri Intan Kondo Batu 4 1/2 Jalan Ipoh, Sentul, pada jam 4.40 petang, 29 Jun. 

Gopinath didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohamed Hanifah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment