My Add

Tuesday 25 September 2012

Perubatan Islam diiktiraf

KUALA LUMPUR, ISNIN, 24 September, 2012: Perubatan Islam mendapat pengiktirafan daripada kerajaan apabila Kementerian Kesihatan bersetuju memasukkan amalan perubatan alternatif tersebut di bawah Rang Undang-Undang Tradisional dan Komplementari 2012.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, notis menambah perubatan Islam itu dibuat selepas kementerian mendapat persetujuan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan semua jabatan agama Islam negeri.

"Sebelum ini, kita tidak masukkan perubatan Islam kerana belum mendapat persetujuan Jakim. Selepas ini, pengamal perubatan Islam termasuk bomoh perlu mendaftar menerusi majlis yang akan ditubuhkan," katanya ketika membaca rang undang-undang itu buat kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (Gappima), Mohd. Fauzi Mustaffa meminta kementerian memasukkan perubatan Islam dalam rang undang-undang tersebut berikutan semakin ramai masyarakat beralih kepada perubatan alternatif Islam.

Menurut Tiong Lai, rang undang-undang tersebut digubal untuk memastikan amalan perubatan yang dijalankan di negara ini selamat dan berkualiti untuk kesejahteraan rakyat.

Katanya, di bawah rang undang-undang itu, pihak kementerian dengan kerjasama Jakim akan memantau proses pendaftaran pengamal perubatan sama ada Islam, tradisional Melayu, Cina mahupun India di bawah satu majlis yang akan ditubuhkan kelak.

Jelasnya, mana-mana pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang mengingkari arahan pendaftaran tersebut boleh dikenakan denda antara RM30,000 hingga RM50,000 atau penjara selama dua tahun.

Malah, beliau memberi jaminan bahawa hampir 15,000 pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang terdapat di negara ini tidak akan terlepas daripada tindakan tegas sekiranya didapati menipu dan melanggar undang-undang berkenaan.

Dalam pada itu, tambah beliau, kementerian juga telah melancarkan dasar kebangsaan dalam bidang perubatan tradisional dan komplementari bagi membolehkan ia disepadukan dengan yang moden demi meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

"Di Malaysia, permintaan terhadap perubatan ini semakin meningkat dan pada masa sama kementerian juga menerima banyak aduan berhubung perkara ini, selain sering digemparkan dengan berita negatif mengenai pengamalnya," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, setakat ini 10 hospital kerajaan menjalankan program integrasi menawarkan perubatan moden dan tradisional.

Hospital tersebut ialah Hospital Kepala Batas (Pulau Pinang), Hospital Sultan Ismail (Johor Bahru), Hospital Putrajaya, Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital Duchess of Kent (Sandakan) dan Hospital Umum (Sarawak).

Di samping itu, turut menawarkan kedua-dua perubatan itu ialah Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar), Hospital Port Dickson, Hospital Sultanah Hajah Kalsom (Cameron Highlands) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kota Bharu). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment