My Add

Wednesday 26 September 2012

Pilihan raya kampus: UIAM perlu beri penjelasan

KUALA LUMPUR, RABU, 26 September, 2012: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) perlu memaklumkan kepada umum punca pilihan raya kampus universiti itu tergendala, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata pihaknya masih belum menerima laporan rasmi daripada universiti berkenaan namun difahamkan ia berpunca daripada masalah teknikal.

"Saya percaya pihak universiti akan maklumkan apa sebenarnya terjadi, di mana puncanya. Ia tidak berlaku di universiti lain yang menggunakan sistem e-undi kecuali di UIAM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kepimpinan Islam di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu berkenaan apabila UIAM satu-satunya universiti yang tidak dapat mengeluarkan keputusan rasmi pilihan raya kampus yang berlangsung semalam berikutan masalah teknikal pada sistem e-undi yang digunakan.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Datuk Mizan Hitam semalam dilaporkan berkata proses pengundian semula akan dilangsungkan dalam tempoh seminggu dari sekarang.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata kementerian menerima baik keputusan pilihan raya kampus dan memberi jaminan akan memberi kerjasama kepada pelajar yang diberi mandat untuk menjalankan tugas dengan sempurna.

"Sesiapa yang diberi mandat perlu memahami dan menyedari kehendak pelajar, dan perlu menjadi penghubung antara mereka dan universiti selain membantu melaksanakan misi serta aspirasi universiti," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kementerian akan merujuk kepada Kementerian Luar berhubung kes kemalangan melibatkan pelajar Malaysia, Mohamed Mushain Mohd Mashur di Mangalore, India.

Mushain yang berasal dari Pulau Pinang cedera apabila dihempap seorang wanita yang cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga Kompleks Krishna di Jalan MG, Mangalore, Isnin lalu.

Katanya kementerian sentiasa bersedia untuk membantu pelajarnya yang menghadapi kesulitan ketika menuntut di luar negara.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Mohamed Khaled menyeru para pemimpin dan intelektual Islam untuk bekerjasama memperbaiki persepsi dan tanggapan Barat terhadap agama Islam, dan mengecilkan jurang perbezaan dengan masyarakat itu.

Selain mengukuhkan interaksi antara pihak Islam dan Barat dalam menangani isu-isu global dan semasa, beliau berkata intelektual Islam juga perlu meningkatkan tahap toleransi antara satu sama lain serta mempromosi pembangunan ekonomi dan peluang-peluang dalam era globalisasi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment