My Add

Tuesday 25 September 2012

PM rasmi Ekspo Malaysiaku

PUTRAJAYA 24 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan Ekspo Malaysiaku di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 5 Oktober ini.
*NOR Mohamed Yakcop menunjukkan logo Ekspo
MalaysiaKu 2012 pada majlis pra-pelancaran di
Putrajaya, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, ekspo selama tiga hari itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai mengimbau sejarah pembangunan negara sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, pelbagai bentuk pameran termasuk audio visual dan grafik yang berlatar belakangkan pembangunan sosio ekonomi negara mengikut dekad akan dipaparkan.

"Selain itu, terdapat acara selingan termasuk teater Cerita Kita, permainan bersama artis terkenal dan dinding grafiti.

"Dalam ekspo ini kita juga akan mengetengahkan pelbagai perspektif menarik mengenai kehidupan generasi lampau yang pernah dibelenggu kemiskinan dan keperitan hidup kesan daripada pembangunan terhad yang kurang diketahui generasi sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Prapelancaran Ekspo Malaysiaku Tanah Air yang Dirahmati di sini hari ini.

Menurut Nor Mohamed, pihaknya menjangkakan ekspo yang julung kali diadakan itu mampu menarik kehadiran seramai 15,000 orang sepanjang tempoh ekspo itu berlangsung.

Nor Mohamed berkata, generasi hari ini perlu merebut peluang keemasan tersebut untuk mengetahui lebih lanjut pembangunan ekonomi negara yang bermula sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970.

Katanya, bermula tarikh tersebut ekonomi negara telah berkembang dengan begitu pesat hingga mampu mengurangkan kadar kemiskinan di bawah paras lima peratus.

"Pada tahun 1970 bagi setiap dua keluarga satu daripadanya hidup di bawah garis kemiskinan namun, hasil daripada dasar dan pelaksanaan strategi yang telah dilakukan keadaan ini berubah.

"Pendapatan perkapita rakyat juga telah meningkat sebanyak 25 kali ganda daripada RM1,200 pada tahun 1970 kepada hampir RM30,000 pada tahun lalu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment