My Add

Monday 24 September 2012

Polis Perak tumpas sindiket curi kereta

IPOH, ISNIN, 24 September, 2012: Polis menumpaskan satu sindiket curi kereta di negeri ini berikutan penahanan tiga lelaki yang merupakan penjenayah tegar, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd. Shukri Dahalan hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu masing-masing berumur 31, 34 dan 37 tahun, mempunyai 10, lima dan empat rekod jenayah lampau antaranya bersangkutan kes dadah.

"Ujian air kencing terhadap ketiga-tiga mereka didapati positif dadah jenis Meth (Ais) dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 28 September ini," katanya.

Mohd. Shukri berkata, berikutan serbuan ke atas mereka di sebuah hotel di Simpang Pulai, pukul 10.30 malam hari Jumaat lepas, polis menemui tiga buah kereta jenis Honda Civic, Toyota Wish dan Kia Spectra.

"Polis turut merampas dua anak kunci kereta Honda Civic dan Toyota Wish, lapan buah telefon bimbit, dua buah komputer riba jenama Acer dan HP Pavilion dan tiga cukai jalan palsu," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Mohd. Shukri berkata tangkapan itu hasil maklumat orang awam yang mendapati nombor pendaftaran Kia Spectra itu didaftar pada sebuah lori.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment