My Add

Saturday 22 September 2012

Program tajaan haji 1MDB kepada bilal, siak dan guru KAFA

SEPANG, SABTU, 22 September, 2012; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata program penajaan haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sahaja akan diteruskan, malah mungkin akan digandakan jumlahnya sekiranya "ada rezeki".

Beliau berkata, program itu juga tidak mustahil akan dipanjangkan kepada kelompok bilal dan siak serta guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), setelah sasaran menghantar para imam dan ketua kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat dicapai.

Dalam ucapannya pada majlis pelepasan jemaah haji 1MDB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Perdana Menteri turut berpesan agar jemaah Malaysia, yang merupakan duta kecil negara ke sana, agar menjaga kelakuan dan tutur kata, kerana adab sopan inilah yang menyebabkan Malaysia dihormati oleh masyarakat dunia.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Seramai 400 imam, ketua kampung dan pengerusi JKKK dari seluruh negara yang belum pernah mengerjakan ibadat haji diberi peluang menjadi tetamu Allah secara percuma melalui program itu kali ini, di mana surat tawaran diserahkan kepada mereka oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos lalu.

Ini merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama 111 imam dan pengerusi JKKK menerima tajaan itu tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment