My Add

Wednesday 26 September 2012

Projek Sekolah Dalam Hospital diperluas
*NOORAINEE Abd. Rahman bersalaman dengan Zura Ashikin Mustafa, yang menjadi mangsa ragut semasa melawatnya di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (HUSM), Kelantan, semalam.
KOTA BHARU, SELASA, 25 September, 2012: Projek Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang berjaya membantu kanak-kanak yang dirawat di hospital kerajaan daripada tercicir dalam pelajaran dan meneruskan kehidupan mereka normal akan diperluaskan ke seluruh negara.

Isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Penaung Hati Nurani, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman berkata, sejak diperkenalkan pada Julai 2011, tiga SDH perintis di Lembah Klang mencatatkan kemasukan luar biasa iaitu lebih 6,000 pelajar dari peringkat tadika sehingga ke sekolah menengah.

“Dalam masa terdekat, ada beberapa lagi SDH akan ditubuhkan dan perkara itu akan diumumkan Kementerian Pelajaran kerana kita bergantung kepada jumlah guru yang kementerian ada," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat SDH Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, yang menempatkan 25 pelajar dan 20 pesakit prasekolah.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Omar Osman; Pengarah HUSM, Datuk Dr. Zaidun Kamari; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dan Pengerusi Hati Nurani, Prof. Madya Normah Dali.

SDH merupakan projek kerjasama antara Kementerian Pelajaran; Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Hati Nurani menerusi Yayasan Nurul Yaqeen.

Noorainee berkata, ketika ini SDH ditubuhkan di Hospital Kuala Lumpur; Hospital Ampang, Hospital Serdang dan terbaru HUSM yang mula beroperasi pada 18 September lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak permintaan daripada hospital kerajaan supaya sekolah berkenaan ditubuhkan.

“Kita menyasarkan kanak-kanak yang tinggal lama dan menerima rawatan berulang di hospital mengikuti pembelajaran di SDH supaya mereka tidak ketinggalan.

“Mata pelajaran yang ditekankan pula termasuk Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Omar berkata, USM sedia menawarkan peluang kepada guru-guru SDH berkelayakkan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di universiti berkenaan bagi meningkatkan kepakaran mereka.

Sementara itu, Noorainee turut meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat Zura Ashikin Mustafa, 48, yang cedera akibat dilanggar dengan kereta oleh peragut di Pasir Tumboh, dekat sini Ahad lalu. .

Noorainee sempat bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat kepada guru prasekolah itu yang masih mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Zura Ashikin yang patah pinggul berkata, dia tidak berdendam, sebaliknya bersimpati dan sedih mengenangkan masa depan peragut itu.

“Mahu marah pun kejadian sudah berlaku, cuma saya kasihan dengan peragut itu kerana mempunyai sikap seperti itu, kasihan dengan masa depannya dan macam mana dia dididik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment