My Add

Tuesday 25 September 2012

Rakyat Malaysia sedia bantu golongan menderita: Muhyiddin

KLANG, SELASA, 25 September, 2012: Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Myanmar adalah gambaran kesediaan rakyat Malaysia membantu golongan yang menderita akibat konflik di Rakhine, Myanmar tanpa mengira bangsa dan agama, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ini bukan pertama kali tetapi sudah sekian lama kita menganjurkan program sebegini dengan sokongan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, sektor swasta yang mengumpul dana membiayai pembelian bahan-bahan makanan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan kapal Sinar Bima dari Pelabuhan Utara di sini yang membawa 500 tan metrik bantuan dalam bentuk makanan, ke wilayah Myanmar itu. 

Muhyiddin berkata, bantuan itu diharap dapat mengurangkan beban mereka yang menderita di Rakhine tanpa mengira bangsa atau agama yang mereka anuti.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Myanmar yang telah memberi jaminan untuk membantu bagi memastikan bantuan yang dihantar akan sampai kepada kumpulan sasaran.

Muhyiddin berkata, sukarelawan yang diketuai Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim diminta supaya menjaga keselamatan diri kerana kawasan itu belum lagi stabil dan jangan terbabit dengan masalah dalaman di sana.

Sebelum itu, di dalam ucapannya Muhyiddin berkata, misi bantuan kemanusiaan ini adalah langkah sementara bagi mengurangkan penderitaan masyarakat di Rakhine dan masalah penindasan etnik di sana perlu diselesaikan kerajaan Myanmar.

"Kita percaya kerajaan Myanmar juga prihatin seperti mana kita, untuk menyelesaikan isu itu. Perlu ada usaha sepadu untuk mencari jalan dan kaedah bagaimana masalah itu dapat diselesaikan supaya rakyat sama ada di Myanmar ataupun di tempat lain boleh hidup dalam keadaan aman dan harmoni," katanya.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, kapal Sinar Bima akan mengambil masa lima hari untuk tiba di Pelabuhan Yangon dan barangan itu akan dihantar ke Rakhine melalui jalan darat yang mengambil masa tiga hari.

Beliau berkata, seramai 50 orang terdiri daripada sukarelawan, pegawai perubatan dan pengamal media terbabit dalam misi yang bermula pada hari ini dan dijangka berakhir pada 10 Oktober depan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Myanmar ke Malaysia, U Tin Latt. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment