My Add

Wednesday 26 September 2012

Selangor sedia bincang isu air dengan Muhyiddin

SHAH ALAM, RABU, 26 September, 2012: Kerajaan Selangor bersedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan melalui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu air di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perkara itu akan dinyatakan melalui surat balas yang akan dihantar kepada Muhyiddin.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menjemput Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bersama-sama membincangkan isu air dan jemputan itu akan dinyatakan melalui surat saya kepada beliau yang akan dihantar selewat-lewatnya dalam tempoh dua hari ini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri percaya perbincangan itu akan membawa keputusan positif kepada industri air serta rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Saya kira Timbalan Perdana Menteri perlu tahu beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum kerajaan negeri boleh membuat tawaran kepada syarikat-syarikat konsesi yang sekarang ini diberi tempoh lanjutan untuk beroperasi dari bulan ke bulan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," katanya.

Kerajaan Persekutuan telah menghantar surat kepada kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung isu air yang dibangkitkan termasuk mengenai soal pengambilalihan syarikat konsesi.

Muhyiddin yang dilantik Kabinet untuk menyelesaikan isu berkenaan, sebelum ini berkata surat itu dihantar pada 19 September lalu.
Surat itu sebagai respons kepada perkara yang dibangkitkan Menteri Besar Selangor berhubung isu tersebut untuk penstrukturan semula bekalan air. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment