My Add

Friday 14 September 2012

Terengganu terima pelaburan biotek RM7 bilion


*AHMADSaid (dua dari kiri) ditemubual dalam radio ManisFM ketika menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya ManisFM di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 13 September, 2012: Terengganu bakal menarik pelaburan sehingga RM7 bilion dalam industri berasaskan bioteknologi menjelang 2015 dengan keyakinan yang ditunjukkan oleh para pelabur.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kewujudan Taman Biopolimer di Kertih, Kemaman merupakan satu tarikan dan ia bakal berkembang menjadi salah sebuah kawasan perindustrian terbesar di rantau ini.

Katanya, untuk permulaan, kerajaan negeri telah menerima pelaburan sebanyak RM3.65 bilion bagi membangunkan kawasan itu dengan kerjasama syarikat dari Perancis, Korea dan China.

"Baru-baru ini, kita juga telah memeterai perjanjian bersama sebuah syarikat dari Boston, Amerika Syarikat (AS) dengan melibatkan pelaburan sebanyak RM1.65 bilion.

"Kita yakin, menjelang 2015 nanti, lebih ramai pelabur asing akan melabur di dalam industri itu sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu untuk tempoh jangka masa panjang," katanya dalam temu bual secara langsung dari konti radio Manis FM pada Majlis Rumah Terbuka stesen penyiaran itu di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengarah Eksekutif Manis FM, Che Abd. Rani Mohd. dan Pengurus Besar Manis FM, Mahari Abdul Rahman.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan menyediakan kawasan seluas 30,000 hektar di Kertih bagi penanaman pokok Petai Belalang atau nama saintifiknya Leucaena Leucocephala dan Acacia Mangium yang bakal menjadi salah satu sumber untuk menampung keperluan industri bioteknologi itu.

Katanya, sebuah kilang bioteknologi bakal dibina di kawasan itu tidak lama lagi untuk memudahkan keseluruhan proses tanaman tersebut bagi menghasilkan bahan mentah produk terbitan bio seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan aktif.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan majlis pecah tanah tapak pembinaan itu pada 6 Oktober ini," jelasnya.

Menurutnya, untuk permulaan, sebanyak tiga jenis petai belalang akan ditanam di kawasan seluas 15 hektar di Kertih iaitu terdiri daripada jenis tempatan, Thailand dan Australia.

Katanya, jika projek itu berjaya dan menguntungkan, kerajaan negeri akan menyarankan petani di negeri ini menanam pokok berkenaan dengan menyediakan tanah untuk mereka antara tiga hingga lima hektar seorang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment