My Add

Thursday 20 September 2012

Tidak perlu jenama semula kewangan Islam: Zeti

 KUALA LUMPUR, KHAMIS, 20 September, 2012:: Tidak perlu untuk menjenamakan semula kewangan Islam kerana produk dan perkhidmatannya sekarang telah diterima secara meluas oleh majoriti negara bukan Islam serta syarikat-syarikat, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hari ini.


Beliau berkata kewangan Islam Malaysia, sebagai contoh, menyaksikan penyertaan lebih 50 peratus bukan Islam manakala dalam pasaran sukuk tempatan, lebih banyak syarikat asing dari negara bukan Islam menerbitkan sukuk.

"Syarikat pertama menerbitkan sukuk di Malaysia ialah Shell Corporation dan ia merupakan sebuah syarikat antarabangsa dari sebuah negara bukan Islam dan sudah tentu kemudiannya..syarikat lain seperti Tesco, Nomura dan Toyota mengikut jejak langkahnya.

"Oleh itu ini adalah satu dorongan yang amat besar bagi kita dan apabila ditanya sama ada kita patut menjenamakannya semula, jawapannya adalah tidak," katanya kepada pemberita pada taklimat khas yang berlangsung selama sejam, di hari ketiga Forum Kewangan Islam Global, di sini, hari ini.

Menyebut pengalaman beliau semasa mesyuarat G7 beberapa tahun lalu, Zeti berkata isu penjenamaan semula adalah disebabkan pemikiran bahawa kewangan Islam mungkin menjadi saluran bagi pembiayaan pengganas.

"G7 mempelawa saya berucap mengenai persamaan dan perbezaan antara kewangan konvensional dan Islam dan saya memberi penjelasan," katanya.

Semasa mesyuarat G7 itu, Zeti menjelaskan bahawa kewangan Islam memerlukan urus niaga ekonomi pendasar, yang juga berdasarkan kepada perkongsian keuntungan dan apabila adanya perkongsian keuntungan, terdapat kontrak dan perkongsian risiko.
"Perkongsian risiko ini memerlukan tahap pendedahan maklumat yang tinggi bagi urus niaga kewangan, justeru itu tahap ketelusan adalah besar.

"Kerana sifat-sifat semula jadi prinsip dan ciri-ciri kewangan Islam, ia kurang terdedah kepada pembiayaan pengganas berbanding pembiayaan konvensional," katanya.

Zeti juga berkata penyebaran maklumat yang lebih lengkap mengenai ciri-ciri kewangan Islam, ditambah dengan pengenalan standard perakaunan dan berhemat beberapa tahun lepas, menunjukkan kewangan Islam adalah satu bentuk pengantaraan kewangan yang menyediakan kepada ekonomi sebenar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment