My Add

Wednesday 19 September 2012

Tiga pegawai Suara Inisiatif ke SSM

KUALA LUMPUR, SELASA, 18 September, 2012: Tiga pegawai Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif) hari ini dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi melengkapkan siasatan terhadap syarikat tersebut.

Mereka ialah dua Pengarahnya iaitu Dr. Kua Kia Soong dan Dr. Yeoh Seng Guan serta Pengarah Eksekutif, Enalini Elumalai.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Mohd. Naim Daruwish berkata, siasatan suruhanjaya terhadap Suara Inisiatif adalah menjurus kepada pematuhan akta-akta syarikat termasuk akaun.

"Siasatan terhadap Suara Inisiatif kini dalam peringkat akhir dan kami akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah mendedahkan terdapat kaitan antara pertubuhan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suara Inisiatif dari segi transaksi dana, khususnya daripada pihak asing.

Ini berlaku selepas beberapa pihak mendedahkan Suaram bukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Di dalam Suaram, Kia Soong memegang jawatan sebagai Penasihat pertubuhan itu, selain ahli Lembaga Pengarah bersama Seng Guan manakala Enalini adalah Pengarah Eksekutif.

Sementara itu, di lobi bangunan SSM, beberapa pemimpin Suaram dan aktivis berhimpun bagi menyokong pertubuhan tersebut agar tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Antara yang hadir ialah Pengerusinya, K. Arumugam; bekas Pengarah Eksekutif, Cynthia Gabriel; Koordinator Projek, Wong Kar Fai serta beberapa aktivis termasuk Fadiah Nadwa Fikri serta Ivy Josiah.

Hadir sama memberi sokongan ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Menurut Arumugam, pihaknya melancarkan kempen Stand up for Suaram untuk menarik sokongan masyarakat bagi mempertahankan pertubuhan itu yang didakwa dikenakan tekanan oleh kerajaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment